Lebih 1,000 penduduk meriahkan Karnival Cakna Rakyat DUN Temangan
-
14 October 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
29
MACHANG, 14 Oktober - Lebih 1,000 penduduk daripada 11 zon memeriahkan Karnival Cakna Rakyat DUN Temangan 2026 yang berlangsung di pekarangan Pusat Khidmat DUN Temangan, Batu 30, pada 10 Oktober.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Temangan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, penganjuran karnival itu menyediakan ruang untuk beriadah, menjadi platform mengeratkan silaturahim dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
“Alhamdulillah, Karnival Cakna Rakyat DUN Temangan 2026 telah melabuhkan tirainya dengan pelbagai pengisian menarik yang menghimpunkan masyarakat daripada 11 zon dalam suasana penuh kemeriahan dan semangat kebersamaan,” katanya di laman rasmi, pada Ahad.
Karnival yang berlangsung dari pukul 7.30 pagi hingga 5.30 petang itu dimeriahkan dengan aktiviti sukan rakyat, pameran agensi kerajaan dan swasta, cabutan bertuah serta jamuan rakyat.
Program itu turut dimeriahkan dengan sukaneka, perbarisan, pertandingan khemah terbaik dan persembahan kesenian rakyat yang mengetengahkan warisan serta budaya masyarakat setempat.
Menurut Dato’ Dr Mohamed Fadzli yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, program berkenaan turut menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat dengan pelbagai agensi yang terlibat.
“Karnival ini bukan sekadar medan hiburan, malah menjadi ruang untuk mengeratkan silaturahim, memupuk semangat perpaduan dan memperkukuh hubungan antara masyarakat dengan pelbagai agensi yang terlibat,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan karnival itu, khususnya barisan urus setia Pusat Khidmat DUN Temangan, penghulu, ketua zon, serta agensi kerajaan dan swasta.
“Semoga semangat kebersamaan ini terus subur demi membina masyarakat DUN Temangan yang harmoni, cakna dan sejahtera,” katanya.












