Pendidikan 5.0 perlu berteraskan nilai Rabbani, akhlak mulia
-
14 October 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
23
KOTA BHARU, 14 Oktober - Pendidikan 5.0 yang mengintegrasikan teknologi moden perlu berteraskan nilai Rabbani bagi melahirkan insan sejahtera yang bukan sahaja menguasai ilmu dan teknologi, malah mempunyai keteguhan spiritual, kebijaksanaan emosi serta integriti moral.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet of things (IoT) dan simulasi realiti maya (VR) kini menjadi sebahagian daripada persekitaran pembelajaran.
Katanya, dalam era Pendidikan 5.0, sempadan antara dunia fizikal dan digital semakin mengecil, sekali gus menuntut pendidik memainkan peranan penting dalam memastikan teknologi dimanfaatkan berlandaskan nilai murni dan akhlak mulia.
“Islam mengajar kita bahawa ilmu tanpa iman dan etika adalah seperti pohon yang tidak berbuah atau pedang bermata dua yang boleh membawa kemusnahan.
“Persoalan utama di hadapan kita hari ini bukan sekadar bagaimana kita menguasai teknologi, tetapi bagaimana kita membentuk jiwa para pendidik agar teknologi dimanfaatkan untuk membina peradaban manusia yang berteraskan nilai-nilai murni dan akhlak mulia."
Beliau berkata demikian ketika merasmikan International Conference on Teaching and Education (ICTE) 26 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Katanya lagi, Pendidikan 5.0 yang bertunjangkan nilai Rabbani bukan sekadar bertujuan melahirkan individu yang pintar berfikir, sebaliknya membentuk insan sejahtera dengan keseimbangan aspek emosi, spiritual, intelek dan moral.
Menurutnya, kebijaksanaan atau hikmah perlu menjadi benteng kepada golongan pendidik dalam menggabungkan penggunaan teknologi mutakhir dengan nilai Rabbani.
Beliau turut merujuk firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 269 yang bermaksud: Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.
Ayat tersebut menjelaskan bahawa sesiapa yang dikurniakan hikmah sesungguhnya diberikan kebaikan yang banyak, dan hanya orang yang menggunakan akal fikiran dapat mengambil pengajaran daripadanya.
Justeru katanya, penerapan nilai Rabbani dan etika dalam pendidikan penting bagi memastikan kemajuan teknologi seiring dengan usaha membentuk insan yang berakhlak mulia serta mampu menyumbang kepada pembinaan peradaban manusia.










