ICTE 2026 bukti institusi pendidikan kekal relevan, pacu transformasi global
-
14 October 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
26
KOTA BHARU, 14 Oktober - Penganjuran berterusan Persidangan Antarabangsa Pengajaran dan Pendidikan (ICTE) 2026 membuktikan institusi pendidikan kekal utuh dan relevan, bahkan sentiasa berada di barisan hadapan dalam mengemudi transformasi pendidikan global.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata perkara itu selari dengan tema persidangan tahun ini, Transformation Educator for Education 5.0: Bridging Technology, Innovation and Values yang mencerminkan wawasan menyeluruh serta berpandangan ke hadapan.
Katanya, kehadiran sebanyak 312 pembentang dan 115 peserta, dengan jumlah keseluruhan penyertaan sebanyak 716 orang termasuk kumpulan inovasi digital, merupakan pencapaian membanggakan.
Menurutnya, persidangan itu turut menjadi wadah persilangan minda berprestij bagi golongan akademik dan pengkaji untuk berkongsi idea, hasil kajian serta kepakaran.
"Persidangan kali ini bukan sahaja menghimpunkan sarjana tempatan, malah turut disertai sarjana dari luar negara seperti Thailand, Brunei, Singapura dan Indonesia.
"Kehadiran delegasi antarabangsa dari negara jiran ini menjadi petanda positif bahawa iltizam untuk memartabatkan dunia pendidikan mampu merentasi sempadan geopolitik dan wilayah," katanya ketika merasmikan ICTE 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Jelasnya, perhimpunan pelbagai minda dari Malaysia, Thailand, Brunei, Singapura dan Indonesia menerusi persidangan itu membuktikan ICTE 2026 berperanan sebagai medium pertukaran idea, hasil kajian dan kepakaran yang mampu memperkayakan ekosistem pendidikan serantau Nusantara.
Katanya, Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa memberikan sokongan padu terhadap inisiatif ilmiah yang menggabungkan kemajuan teknologi, inovasi digital dan penerapan nilai murni.
Menurutnya, pendekatan itu berasaskan kesinambungan pemikiran yang dipaksikan kepada agenda Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) 2023-2033.
"Menerusi portfolio Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, kerajaan negeri memberikan penekanan khusus terhadap penerapan nilai asas ubudiah (pengabdian diri), masuliah (kebertanggungjawaban) dan itqan (profesionalisme serta kecemerlangan) pada setiap peringkat pendidikan," jelasnya.
Hadir sama, Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) merangkap Pengerusi utama ICTE 26 Professor Dr Mazlan Ibrahim, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamaruddin Md Nor, Pengarah Kolej Politech MARA Kota Bharu YM Raja Izzuddin Raja Ahmad, Pengarah Institut Pendidikan Guru kampus Sultan Mizan Ts Dr Bajuzi Awang, Pengarah Intitut Pendidikan Guru Kampus Kota, Bharu, Dr Narita Mohd Nor, Pengarah Intitut Latihan Darulnaim, Dr Azizi Omar dan Timbalan Pengarah Yayasan Islam Kelantan (Pengurusan), Dr Mohd Arpi Arifin.












