Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan capai sasaran pelaburan 2026, projek strategik terus dipacu – MB Kelantan

  • 14 October 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 34

KOTA DARULNAIM, 14 Oktober - Kelantan mencapai sasaran pelaburan direalisasikan bagi tahun 2026, selain meneruskan kemajuan projek strategik dan peluasan inisiatif rakyat sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negeri.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, pencapaian itu merupakan petunjuk positif bahawa pembangunan negeri bergerak mengikut perancangan yang ditetapkan.

Beliau berkata demikian rasmi selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Negeri Kelantan di Mabna Kota Darulnaim, pada Khamis.

“Alhamdulillah, pencapaian pelaburan direalisasikan yang telah memenuhi sasaran 2026, kemajuan projek strategik serta peluasan inisiatif rakyat merupakan petunjuk positif bahawa Kelantan sedang bergerak di landasan yang tepat,” katanya di laman rasmi pada Jumaat.

Walau bagaimanapun, Dato’ Mohd Nassuruddin menegaskan bahawa setiap pencapaian perlu disusuli pelaksanaan yang berkesan bagi memastikan perancangan pembangunan dapat diterjemahkan kepada manfaat sebenar untuk rakyat.

Menurutnya, kerajaan negeri mahu memastikan setiap perancangan yang dibuat bukan sekadar pencapaian di atas kertas, sebaliknya memberikan hasil yang dapat dirasai oleh rakyat.

“Saya mahu memastikan setiap perancangan bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi diterjemahkan kepada manfaat sebenar untuk rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, perancangan projek baharu di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Rolling Plan Ketiga (RP3) turut menjadi sebahagian daripada usaha meneruskan pembangunan negeri selaras dengan aspirasi Kelantan Sejahtera 2033.

Menteri Besar Kelantan turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), semua agensi pelaksana dan pihak berkepentingan atas komitmen serta kerjasama berterusan dalam menjayakan agenda pembangunan Kelantan.

Beliau berkata, negeri itu bukan sekadar mahu mengejar pembangunan, tetapi turut memberi perhatian kepada persediaan dan pelaksanaan yang tersusun bagi memastikan hala tuju pembangunan dapat diteruskan.

“Insya-Allah, kita terus mara dengan perancangan yang teliti, pelaksanaan yang tersusun dan masa depan yang lebih meyakinkan,” katanya.

Pautan berjaya disalin!