Accessibility Tools

Skip to main content

Dato' Siti Zailah gesa KKR naik taraf turapan jalan gred tinggi di pintu masuk negara

  • 08 October 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim | Kredit foto: Media Parlimen Malaysia
  • 62

KUALA LUMPUR, 8 Oktober — Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff menggesa Kementerian Kerja Raya (KKR) menaik taraf kualiti turapan jalan bergred tinggi di tiga pintu masuk antarabangsa Kelantan bagi menampung aliran trafik rentas sempadan serta menyokong kegiatan perdagangan dan pelancongan dengan Thailand.

Beliau berkata, laluan di Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga memerlukan spesifikasi turapan gred tinggi berikutan kepentingannya sebagai jaringan pengangkutan yang menghubungkan Malaysia dengan Thailand.

Menurutnya, kerosakan jalan di kawasan berkenaan menjejaskan keselesaan dan keselamatan pengguna dan berpotensi memberi kesan kepada kelancaran logistik perdagangan dua hala serta imej pelancongan sempadan negara.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya KKR mewujudkan kategori penyenggaraan khusus bagi memastikan laluan ekonomi strategik tersebut menerima perhatian sewajarnya.

“Adakah Kementerian bercadang untuk mewujudkan kategori penyelenggaraan baharu iaitu ‘Laluan Ekonomi Sempadan Berimpak Tinggi’ untuk Kelantan?” soalnya.

Beliau mengemukakan cadangan itu menerusi soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Lisan Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen Kelima Belas, semalam.

Dato' Siti Zailah turut mencadangkan penggunaan spesifikasi turapan berkualiti tinggi berbanding kaedah tampalan biasa bagi memastikan ketahanan permukaan jalan yang menerima aliran trafik antarabangsa.

Menurutnya, keperluan penyenggaraan di pintu masuk negara wajar dinilai berdasarkan fungsi ekonomi dan kepadatan trafik, selain tahap kerosakan jalan.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya ketika menjawab persoalan berkenaan menjelaskan bahawa kerja penyenggaraan rutin berjadual dilaksanakan mengikut kategori jalan serta pusingan kerja yang ditetapkan dalam Kontrak Perjanjian Penswastaan.

Kategori penyenggaraan sedia ada meliputi Jalan Protokol, Jalan Utama dan Jalan Sekunder.

Pautan berjaya disalin!