Dato' Siti Zailah persoal formula agihan RM157.15 juta penyenggaraan jalan
-
08 October 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
36
KUALA LUMPUR, 8 Oktober - Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff mempersoalkan formula yang digunakan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam menentukan agihan peruntukan penyenggaraan jalan berjumlah RM157.15 juta kepada empat negeri di bawah Zon Tengah/Timur bagi tahun 2026.
Beliau meminta penjelasan sama ada agihan tersebut mengambil kira keperluan sebenar setiap negeri berdasarkan panjang Jalan Persekutuan, tahap kerosakan jalan, jumlah trafik serta kadar kemalangan.
Perkara itu dibangkitkan pada sesi Pertanyaan Lisan Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen Kelima Belas, semalam.
“Apakah formula yang digunakan oleh Kementerian untuk menentukan bahagian setiap negeri?” soalnya.
Menerusi soalan tambahan, Dato' Siti Zailah turut membangkitkan persoalan sama ada peruntukan yang disalurkan kepada Kelantan setimpal dengan keperluan penyenggaraan jaringan Jalan Persekutuan di negeri berkenaan.
Menjawab persoalan tersebut, KKR memaklumkan bahawa agihan peruntukan penyenggaraan jalan ditentukan berdasarkan beberapa kriteria teknikal termasuk panjang jalan yang disenggara, kategori jalan, tahap kerosakan serta aduan yang diterima.
Penilaian tahap kerosakan jalan dibuat menerusi Pavement Condition Assessment (PCA) bagi mengenal pasti keadaan fizikal turapan sebagai antara asas pertimbangan dalam menentukan keperluan penyenggaraan.
Sementara itu, Kelantan menerima peruntukan RM33 juta menerusi program memperkasa kontraktor G1 hingga G4 di bawah Zon Tengah/Timur yang memberi manfaat kepada 91 kontraktor.
Peruntukan berkenaan melibatkan tujuh kerja penyenggaraan berkala pavemen dan 84 kerja penyenggaraan berkala bukan pavemen.








