Accessibility Tools

Skip to main content

MP Kota Bharu persoalkan pengurangan audit prestasi dalam LKAN Siri 2 2026

  • 08 October 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 30

KUALA LUMPUR, 8 Oktober - Ahli Parlimen Kota Bharu YB Dato' Seri Takiyuddin Hassan mempersoalkan pengurangan bilangan laporan pengauditan prestasi yang dibentangkan di Dewan Rakyat menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 2026 berbanding 2023 dan tahun-tahun sebelumnya.

Katanya, pengauditan prestasi adalah antara fungsi teras Jabatan Audit Negara yang diperkenalkan susulan pelaksanaan program 'performance budgeting system' sebelum Akta Audit dipinda pada 1978.

Menurutnya, persoalan timbul sama ada berlaku perubahan terhadap petunjuk prestasi utama (KPI) juruaudit selepas 2023 sehingga pengauditan prestasi tidak lagi diberikan keutamaan.

"Atau sebenarnya pengauditan prestasi masih dilaksanakan tetapi tidak lagi dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

"Sekiranya benar terdapat pengurangan, apakah justifikasinya sedangkan pengauditan prestasi merupakan instrumen utama untuk menilai keberkesanan perbelanjaan awam, khususnya ketika kerajaan memperuntukkan dana yang semakin besar setiap tahun," katanya ketika membahaskan LKAN Siri 2 2026 di Dewan Rakyat, semalam.

Dato' Seri Takiyuddin turut membangkitkan persoalan berkaitan pengauditan syarikat kerajaan dan penggunaan Sistem Audit Kendiri secara elektronik. 

Menurutnya, berdasarkan pemahamannya, pengauditan Jabatan Audit Negara di bawah Seksyen 5(1)(d) Akta Audit 1957 lebih tertumpu kepada aspek tadbir urus dan pengurusan syarikat kerajaan, bukannya pengauditan penyata kewangan kerana penyata kewangan diaudit juruaudit luar.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan mengapa laporan berkaitan pengauditan syarikat tidak lagi dibentangkan dalam LKAN kali ini.

"Berapa jumlah pengauditan syarikat kerajaan yang telah diselesaikan oleh Jabatan Audit Negara bagi tahun semasa dan daripada jumlah tersebut, berapa pula akhirnya dilaporkan kepada Dewan Rakyat ini?" soalnya.

Mengenai sistem e-self audit, beliau meminta penjelasan berhubung maksud sebenar sesebuah syarikat dikatakan sudah diaudit melalui sistem berkenaan.

Beliau mempersoalkan sama ada maklumat yang hanya diisi sendiri oleh syarikat dalam sistem tetapi belum disahkan dan diverifikasi melalui pemeriksaan di lapangan oleh juruaudit Jabatan Audit Negara boleh dianggap sebagai telah diaudit sepenuhnya.

"Inilah persoalan-persoalan yang saya rasa perlu dijelaskan oleh Jabatan Ketua Audit Negara apabila menggunakan sistem e-self audit ini," katanya.

Dalam pada itu, Dato' Seri Takiyuddin turut menyentuh pengauditan pejabat perwakilan Malaysia di luar negara yang menurutnya tertumpu kepada aspek tadbir urus dan pengurusan kewangan.

Katanya, kebanyakan isu yang diketengahkan dalam dapatan audit membabitkan perkara seperti kekosongan jawatan, kelewatan penyaluran peruntukan, pemeriksaan mengejut yang tidak dilaksanakan, kelemahan penyelenggaraan kad daftar stok serta beberapa kelemahan operasi.

Beliau berpandangan perkara berkenaan lebih bersifat pentadbiran harian dan mempersoalkan sama ada isu sedemikian lazimnya berada dalam skop tindakan unit audit dalaman kementerian atau agensi untuk diperbetulkan.

"Saya bukan mempertikaikan kepentingan isu tersebut tetapi saya ingin mendapat pandangan Jabatan Audit Negara sama ada laporan kepada Parlimen seharusnya lebih memfokuskan kepada isu yang mempunyai impak strategik dan nasional," katanya.

Jelasnya, rakyat dan Dewan Rakyat pastinya mengharapkan kupasan lebih signifikan diberikan terhadap pengurusan syarikat kerajaan yang strategik di peringkat negara.

Beliau antara lain menyebut Khazanah Nasional, Permodalan Nasional Berhad (PNB), TEKUN Nasional serta syarikat berkaitan kerajaan yang menguruskan dana awam berskala besar supaya diberikan tumpuan oleh Jabatan Audit Negara.

Beliau turut meminta penjelasan Jabatan Audit Negara mengenai pengauditan Lembaga Tabung Haji selepas proses penstrukturan aset yang dilaksanakan pada tahun 2008.

Pautan berjaya disalin!