Insiden Masjid Al-Aziz Al-Hadi: TMB mahu pelaku dikenal pasti, tindakan sewajarnya diambil
-
08 October 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
28
KOTA DARULNAIM, 7 Oktober - Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan meminta pihak berkuasa menyiasat dan mengenal pasti pihak yang terlibat dalam insiden khianat di Masjid Al-Aziz Al-Hadi, Kota SPP Warisan, Tumpat pada 5 Oktober.
Beliau berkata, tindakan sewajarnya perlu diambil mengikut undang-undang terhadap pihak yang terlibat dalam kejadian berkenaan.
“Kita minta sangat supaya pihak yang berkuasa, sama ada polis ke atau apa, tolong siasat dan cari siapa yang terlibat dan ambil tindakan yang sewajarnya.
“Ini adalah satu benda yang sangat-sangat tidak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Mesyuarat Exco di Mabna Kota Darulnaim, hari ini.
Menurutnya, perbuatan seumpama itu tidak wajar berlaku terhadap mana-mana rumah ibadah dan pendirian sama turut terpakai sekiranya ia melibatkan tempat ibadah lain.
“Bukan masalah masjid saja. Kalau buat tempat ibadah lain pun kita akan marah” jelasnya.
Beliau memaklumkan, pihak polis telah mengambil beberapa tindakan susulan berhubung kejadian tersebut dan yakin siasatan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.
“Saya baca, saya ikuti. Sekarang ini polis sudah ada beberapa tindakan yang telah pun dibuat dan saya yakin pihak polis akan berjaya dalam masa yang singkat, insya Allah,” ujarnya.








