Sukan selamat perlu mekanisme jelas, lindungi atlet dan kanak-kanak – YB Dato' Siti Zailah
-
07 October 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
28
KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Kerajaan perlu memperincikan mekanisme pelaksanaan konsep sukan selamat bagi memastikan keselamatan dan kebajikan atlet, termasuk kanak-kanak, remaja, wanita serta atlet para terjamin dalam ekosistem sukan negara.
Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata perkara itu penting khususnya membabitkan hubungan antara atlet dengan jurulatih, pegawai, pengurus dan persatuan sukan.
Katanya, penjelasan juga perlu diberikan mengenai saluran aduan bagi atlet yang menjadi mangsa, termasuk sekiranya individu yang didakwa sebagai pelaku mempunyai kedudukan dalam persatuan.
"Jika seorang atlet menjadi mangsa, kepada siapa mereka mengadu dan jika pelaku mempunyai kedudukan dalam persatuan, siapa yang akan menyiasat.
"Jika mangsa di bawah umur, apakah protokol perlindungannya, bagaimana kerahsiaan dijaga dan bagaimana tindakan balas terhadap pengadu dapat dicegah," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Akta Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat, semalam.
Dato' Siti Zailah turut mohon penjelasan tentang mekanisme pembaharuan yang akan dilaksanakan bagi memastikan aspek keselamatan sukan bukan sekadar label, terutama jika struktur sedia ada dan proses penyiasatan masih boleh mewujudkan konflik kepentingan.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu kemudahan sukan, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman yang terdedah kepada banjir.
Katanya, kekurangan fasiliti mesra anak muda di kawasan berkenaan mengehadkan peluang golongan berkenaan untuk menjalani latihan dan mengembangkan bakat dalam bidang sukan.
"Rata-rata kita mengetahui antara isu besar di negara kita ialah kemudahan sukan terutama di kawasan luar bandar.
"Saya harap supaya perhatian diberi di seluruh negara, terutama kawasan yang sangat memerlukan," katanya.
Menyentuh mengenai e-sukan yang diiktiraf sebagai sukan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), beliau meminta penjelasan mengenai garis panduan yang dilaksanakan bagi memastikan penglibatan kanak-kanak dalam bidang itu tidak memberi kesan buruk kepada mereka.
Katanya, kandungan ganas dalam sesetengah permainan video yang menjadi sebahagian daripada ekosistem e-sukan turut menimbulkan cabaran yang perlu diberi perhatian.
Menurutya, terdapat permainan yang mengetengahkan elemen tembak-menembak, pembunuhan dan keganasan, justeru kajian mengenai kesannya terhadap jiwa remaja dan kanak-kanak yang terbabit dalam e-sukan perlu diperjelaskan.
"Saya bimbang perkara ini akan membawa kepada isu yang lebih membimbangkan seperti yang kita tengok bagaimana laporan media hari ini berlaku kes buli dan jenayah meningkat dalam kalangan pelajar dan sudah tentu ia mempunyai kesan yang besar," tegasnya.
Sehubungan itu, beliau bertanya sama ada kerajaan mewujudkan jawatankuasa penyelarasan e-sukan peringkat negara yang melibatkan semua kementerian berkaitan, termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Beliau turut meminta penjelasan mengenai kawalan dan perlindungan kanak-kanak dalam e-sukan, termasuk langkah bagi mengelakkan eksploitasi terhadap golongan berkenaan.
Selain itu, Dato' Siti Zailah mahu mengetahui sejauh mana atlet e-sukan perlu menjalani saringan kesihatan, khususnya dari segi kesihatan fizikal dan mental.
Katanya, program latihan juga perlu merangkumi aspek senaman, ergonomik, penjagaan mata, pemakanan serta sokongan psikologi, terutama bagi atlet e-sukan.
Beliau juga mohon penjelasan sama ada kajian berkala mengenai impak e-sukan terhadap kanak-kanak telah dilaksanakan serta menyatakan pandangan bahawa tidak semua permainan wajar diberikan pengiktirafan yang sama.
Dato' Siti Zailah meminta penjelasan mengenai aspek pelesenan dan penganjuran pertandingan e-sukan yang membabitkan kanak-kanak, termasuk jumlah penganjur yang telah berdaftar secara sah.
Beliau pada masa sama berharap kawalan masa bermain dan garis panduan latihan dapat diwujudkan supaya pelajar tidak mengabaikan pelajaran, waktu tidur yang mencukupi serta tanggungjawab lain.








