Accessibility Tools

Skip to main content

Syarat geran padanan sukan bebani kelab kampung, mekanisme bantuan perlu dirombak - MP Kuala Krai

  • 07 October 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 32

KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Mekanisme Geran Padanan Sukan perlu dikaji semula kerana kaedah bayaran tuntutan semula dan syarat kewangan sedia ada disifatkan membebankan kelab sukan kampung serta organisasi akar umbi yang mempunyai sumber kewangan terhad.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman pembayaran secara tuntutan semula menyukarkan kelab kecil kerana mereka lazimnya tidak mempunyai aliran tunai yang mencukupi untuk mendahulukan kos penganjuran program sebelum membuat tuntutan.

“Bayaran dibuat secara tuntutan semula (reimbursement), yang menyukarkan kelab kampung kerana tidak mempunyai aliran tunai,” katanya ketika membahaskan RUU Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 pada sidang Dewan Rakyat, semalam.

Dalam pada itu, katanya, syarat permohonan yang menetapkan nilai program sekurang-kurangnya RM50,000 dan akaun kelab perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM10,000 juga dilihat tidak mengambil kira perbezaan kemampuan antara kelab profesional, kelab negeri, kelab daerah dan kelab yang digerakkan sukarelawan.

“Kementerian tidak boleh merangka skim bantuan seolah-olah semua kelab mempunyai kekuatan kewangan yang sama. Kelab profesional tidak sama dengan kelab kampung, begitu juga kelab negeri tidak sama dengan kelab daerah,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan mekanisme bantuan sukan perlu mengambil kira keupayaan sebenar setiap kategori kelab supaya sokongan kerajaan dapat memberi manfaat kepada organisasi akar umbi yang menjadi asas pembangunan sukan negara.

Pautan berjaya disalin!