Accessibility Tools

Skip to main content

Isu pelarian: Malaysia perlu dasar tegas, berperikemanusiaan – Datuk Dr Ahmad Marzuk

  • 07 October 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 32

KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Malaysia memerlukan dasar pengurusan pelarian yang tegas dan berperikemanusiaan dalam memastikan kepentingan rakyat serta kedaulatan negara terus dipelihara.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa YB Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary berkata, isu pelarian tidak boleh dilihat hanya dari sudut keselamatan atau kemanusiaan semata-mata kerana ia turut melibatkan aspek kedaulatan, keselamatan ekonomi, undang-undang dan maruah manusia.

“Malaysia memerlukan dasar yang tegas tetapi tidak zalim, berperi kemanusiaan tetapi tidak naif dan mempertahankan kepentingan rakyat Malaysia tanpa menghilangkan hak manusia yang melarikan diri daripada peperangan, penganiayaan dan juga penindasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas berkaitan pengurusan pelarian di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Menurutnya, prinsip Islam turut mengajar supaya golongan yang dizalimi diberi perlindungan dan layanan yang adil, namun pemberian perlindungan tidak bermaksud kedaulatan negara atau penguatkuasaan undang-undang diketepikan.

“Prinsip kita mudah, rahmat tanpa undang-undang boleh membawa kekacauan. Undang-undang tanpa rahmah boleh membawa kezaliman. Yang kita perlukan ialah undang-undang yang dipandu secara penuh keadilan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Datuk Dr Ahmad Marzuk menyokong pewujudan satu mekanisme penentuan status pelarian yang telus, bersepadu dan boleh diaudit bagi mengenal pasti individu yang benar-benar memerlukan perlindungan.

Katanya, mekanisme berkenaan boleh merangkumi penggunaan biometrik, semakan keselamatan, rekod jenayah, negara asal, sebab melarikan diri, sejarah perjalanan serta mekanisme rayuan.

Beliau menegaskan, kerajaan juga perlu mempunyai pangkalan data yang sahih bagi membezakan antara pelarian sebenar, pemohon suaka, pendatang asing tanpa izin dan migran ekonomi.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pelarian yang melakukan kesalahan tetap tertakluk kepada undang-undang Malaysia dan perlu disiasat serta didakwa sekiranya mempunyai asas kesalahan.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu turut menyentuh aspek pekerjaan dengan berkata, sebahagian pelarian telah bekerja dalam ekonomi tidak formal dan keadaan itu boleh menyebabkan mereka terdedah kepada eksploitasi serta bekerja tanpa perlindungan sewajarnya.

Katanya lagi, laluan pekerjaan yang terkawal boleh dipertimbangkan bagi pelarian yang memenuhi syarat, dengan memastikan kepentingan pekerja tempatan tidak terjejas serta pematuhan terhadap gaji minimum, undang-undang buruh, pemeriksaan kesihatan dan perlindungan sosial.

Beliau juga membangkitkan isu kesihatan dan pendidikan, termasuk keperluan memastikan kanak-kanak pelarian mendapat pendidikan asas dan kemahiran supaya tidak tercicir dalam tempoh yang panjang.

Tambahnya, tanggungjawab berkaitan kesihatan pelarian tidak seharusnya dipikul sepenuhnya oleh kerajaan, sebaliknya perlu dikongsi bersama majikan, UNHCR, pertubuhan bukan kerajaan dan agensi antarabangsa.

Pada masa sama, Datuk Dr Ahmad Marzuk berkata Malaysia perlu memberi perhatian kepada punca berlakunya krisis pelarian, khususnya konflik di Myanmar.

“Selagi pembunuhan, perang dan pengusiran di Myanmar, selagi itulah Malaysia akan diberikan tempat untuk mereka kembali. Mereka kalau di negara mereka aman, mereka pun tak ingin datang ke negara kita,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!