RUU Sukan 2026: Mekanisme semak imbang perlu seiring peluasan kuasa - YB Ahmad Fadhli
-
07 October 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
28
KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Mekanisme semak dan imbang perlu diperkukuh seiring peluasan kuasa Menteri dan Pesuruhjaya Sukan (PJS) menerusi Rang Undang-Undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 bagi memastikan tadbir urus badan sukan kekal adil dan telus.
Ahli Parlimen Pasir Mas YB Ahmad Fadhli Shaari berkata pengukuhan Akta Pembangunan Sukan perlu disertai parameter kuasa yang jelas, khususnya membabitkan pindaan perlembagaan badan sukan.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, semalam.
Menurutnya, Seksyen 19B membolehkan PJS mengarahkan badan sukan meminda perlembagaannya, termasuk bagi apa-apa perkara lain yang didapati perlu atau suai manfaat, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai parameter khusus bagi tafsiran istilah berkenaan.
“Seksyen 19B ini perlu dilengkapi dengan alasan bertulis, parameter dan objektif yang jelas, serta mekanisme rayuan,” katanya.
Beliau turut membangkitkan Seksyen 19C yang menetapkan badan sukan tidak boleh meminda perlembagaannya sendiri tanpa kelulusan PJS, selain mempersoalkan perlindungan hak representasi di bawah Seksyen 41A yang membolehkan Menteri mengisytiharkan badan sukan sebagai menyalahi undang-undang atas alasan keselamatan Malaysia, ketenteraman awam atau kemoralan.
Dalam pada itu, YB Ahmad Fadhli turut meminta penjelasan mengenai perlindungan hak individu di bawah Seksyen 32D, 32E dan 32F berkaitan kuasa penyiasatan, termasuk hak mendapatkan khidmat peguam ketika pemeriksaan, tempoh penahanan telefon atau komputer serta pengurusan data peribadi yang tidak berkaitan.
“Kita menggubal undang-undang ini bukan sahaja untuk Menteri hari ini, tetapi untuk semua Menteri pada masa akan datang,” jelasnya.








