Accessibility Tools

Skip to main content

Pulau Chendol, Pulau Suri berpotensi dikembangkan sebagai tarikan ekopelancongan – YB Mohd Adanan

  • 07 October 2026
  • Oleh: Syamimi Manah | Kredit foto: Media YB Mohd Adanan
  • 37

TUMPAT, 7 Oktober - Pulau Chendol dan Pantai Suri berpotensi diketengahkan sebagai antara tarikan ekopelancongan di kawasan kepulauan Tumpat, khususnya menerusi keunikan alam semula jadi yang terdapat di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kelaboran YB Mohd Adanan Hassan berkata, potensi tersebut dapat diteroka dan dikembangkan bagi memberi manfaat kepada masyarakat serta ekonomi penduduk setempat.

Beliau berkata demikian rasmi selepas mengadakan lawatan ke Pasar Terapung Pulau Suri bersama pegawai-pegawai Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), barisan pegawai Majlis Daerah Tumpat, Ahli Majlis, Imam Masjid Teluk Renjuna Amin Zulkahar, semalam.

Menurutnya, lawatan berkenaan bertujuan meninjau potensi pembangunan sektor pelancongan di kawasan kepulauan.

“Lawatan ini bertujuan meninjau potensi pembangunan sektor pelancongan di kawasan kepulauan, khususnya tarikan berasaskan ekopelancongan yang boleh diketengahkan dan dikembangkan pada masa hadapan,” katanya di laman rasmi, semalam.

Dalam lawatan itu juga, beliau meninjau tapak ekopelancongan yang menawarkan keindahan alam semula jadi termasuk laluan pejalan kaki dan pelantar tinjau yang membawa pengunjung menyusuri kawasan hutan paya bakau serta pokok nipah.

Tambahnya, kawasan berkenaan turut mempunyai keunikan tersendiri sebagai lokasi untuk melihat kunang-kunang pada waktu malam.

Beliau berkata, potensi yang ada wajar terus diteroka dan diperkembangkan sebagai salah satu tarikan pelancongan kepulauan di Tumpat.

“Insya Allah, potensi yang ada ini boleh terus diteroka dan diperkembangkan sebagai salah satu tarikan pelancongan kepulauan di Tumpat, sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat serta ekonomi penduduk setempat,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!