Accessibility Tools

Skip to main content

Belanjawan 2027: Kelantan mahu LPT3 diteruskan, isu tebatan banjir diberi perhatian - TMB Kelantan

  • 07 October 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 48

KOTA DARULNAIM, 7 Oktober - Kerajaan Negeri Kelantan berharap pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri YAB Dato Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat ini memberi perhatian kepada projek besar yang melibatkan kepentingan rakyat termasuk meneruskan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT)3 dari Gemuruh ke Kelantan serta isu tebatan banjir.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri turut berharap beberapa peruntukan berkaitan kepentingan rakyat dan masalah semasa di negeri itu dapat diberi perhatian menerusi Belanjawan 2027.

“Kita, sebagaimana yang sebelum-sebelum ini lah, kita harapkan beberapa projek besar untuk negeri Kelantan yang melibatkan kepentingan rakyat dan juga masalah-masalah semasa, contohnya soal tebatan banjir dan lain-lain diutamakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mesyuarat exco di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut meminta supaya projek LPT3 dari Gemuruh diteruskan ke Kelantan bagi menyediakan laluan alternatif kepada rakyat selain laluan sedia ada melalui Gua Musang.

“Kita minta juga beberapa peruntukan kerajaan negeri, termasuklah Lebuhraya Pantai Timur, LPT3 daripada Gemuruh diteruskan ke Kelantan.

“Sebab berilah pilihan juga kepada rakyat negeri Kelantan untuk mempunyai jalan alternatif Kuala Lumpur di samping Gua Musang yang ada sekarang ini,” ujarnya.

Menurut Dato’ Dr Mohamed Fadzli, penyediaan laluan alternatif itu dapat memberi manfaat kepada rakyat Kelantan sebagaimana yang dinikmati negeri-negeri lain.

Dalam perkembangan berkaitan isu tebatan banjir, beliau berkata kerajaan negeri berharap perkara berkenaan diberi perhatian demi kepentingan rakyat.

Walau bagaimanapun, katanya, satu kajian terperinci perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar masalah banjir, khususnya keadaan air yang tidak dapat keluar dan menyebabkan berlakunya banjir termenung.

“Kita minta supaya buat kajian yang betul dan kenal pasti sebenarnya apa masalah sebenarnya yang menyebabkan banjir itu berlaku dan air itu tak boleh nak keluar,” jelasnya.

Tambahnya, kajian tersebut penting bagi mengenal pasti kelemahan yang berlaku sebelum sebarang penambahbaikan dibuat supaya masalah banjir dapat diselesaikan.

Pautan berjaya disalin!