Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan akan rayu keputusan Mahkamah Tinggi libat ganti rugi RM17.46 juta

  • 07 October 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 112

KOTA DARULNAIM, 7 Oktober - Kerajaan Negeri Kelantan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang memerintahkan pembayaran ganti rugi berjumlah RM17.46 juta kepada 348 peserta FELCRA Bukit Tandak.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri mempunyai tempoh tertentu untuk mengemukakan rayuan dan perkara itu akan dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan.

“Kita akan buat rayuan. Dia ada tempoh tertentu untuk kita buat rayuan dan nanti kita akan buat rayuan dalam tempoh tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Mesyuarat Exco di Mabna Kota Darulnaim, hari ini.

Dato' Dr Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri turut menubuhkan satu jawatankuasa bagi meneliti perkara berkaitan representasi kerajaan negeri dalam kes berkenaan.

Menurutnya, jawatankuasa berkenaan akan melihat beberapa kelemahan dari sudut representasi kerajaan negeri di mahkamah sebagai persediaan menghadapi proses rayuan di mahkamah lebih tinggi.

“Dalam masa yang sama kita pun dah tubuhkan satu jawatankuasa, yang saya akan mengusahakan jawatankuasa tersebut, di mana kita akan tengok nanti beberapa kelemahan-kelemahan dari sudut representasi kita dalam mahkamah,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, kerajaan negeri akan berusaha melakukan yang terbaik dalam proses rayuan berkenaan kerana berpendapat keputusan tersebut tidak sepatutnya memihak kepada pihak berkenaan.

“Sebab sepatutnya kes itu tak sepatutnya kita kalah. Tapi kita yakin insya Allah dalam mahkamah seterusnya nanti kita akan cuba buat yang terbaik,” jelasnya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan Kerajaan Negeri Kelantan dan Pentadbir Tanah Daerah Pasir Mas membayar ganti rugi berjumlah RM17.46 juta kepada 348 peserta FELCRA Bukit Tandak berhubung isu pengeluaran tender pembalakan pokok getah milik mereka.

Pautan berjaya disalin!