Accessibility Tools

Skip to main content

Pembangunan sukan negara perlu pelan pelapis berterusan - YB Ahmad Fadhli Shaari

  • 07 October 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 30

KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Pembangunan sukan negara perlu memberi tumpuan lebih serius kepada pelan pelapis berterusan, kedalaman sistem dan kepakaran sains sukan bagi memastikan prestasi atlet berprestasi tinggi dapat dikekalkan.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas YB Ahmad Fadhli Shaari, aspek pembangunan perlu menjadi ukuran utama keberkesanan akta berkenaan, bukan sekadar peluasan kuasa dan penambahbaikan tadbir urus.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat, semalam.

Menurutnya, persoalan utama ialah hasil pembangunan sukan negara, khususnya keupayaan melahirkan atlet bertaraf dunia secara konsisten dalam tempoh panjang.

“Jangan kita lupa perkataan paling penting dalam akta ini iaitu pembangunan. Apakah hasil pembangunan sukan kita hari ini?” katanya.

Menurutnya, Malaysia perlu meneliti aspek seperti akademi, liga remaja, kepakaran jurulatih, sains sukan dan pengambilan pemain bagi membina sistem pembangunan yang lebih kukuh.

Sementara itu, beliau turut membangkitkan keperluan pelan penggantian dalam badminton susulan kebergantungan terhadap pemain utama pada masa lalu serta persoalan mengenai pelapis selepas Datuk Azizulhasni Awang dalam acara basikal trek, supaya prestasi sukan negara tidak turun naik apabila ketiadaan jagoan utama.

Pautan berjaya disalin!