Permudahkan pendaftaran kelab sukan baharu, elak birokrasi matikan semangat anak muda - YB Abdul Latiff
-
07 October 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
30
KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Proses pendaftaran kelab sukan baharu perlu dipermudah bagi mengelakkan birokrasi mengekang penyertaan anak muda dalam pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman pembaharuan terhadap proses pendaftaran di bawah Seksyen 25B perlu memberi lebih kepastian kepada pemohon, terutama melalui penyediaan perlembagaan model yang telah diluluskan untuk dijadikan panduan oleh kelab baharu.
“Saya mencadangkan tiga pembaharuan iaitu menyediakan contoh perlembagaan model yang telah diluluskan, mengeluarkan semua kuari terhadap permohonan secara menyeluruh dan bukannya secara berperingkat, serta mewujudkan piagam pelanggan dengan tempoh pemprosesan dan kelulusan yang jelas,” katanya ketika membahaskan RUU Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 pada sidang Dewan Rakyat, semalam.
Katanya, pendekatan mengeluarkan kuari secara serentak dapat memberi gambaran yang lebih jelas kepada pemohon mengenai perkara yang perlu diperbaiki, sekali gus mengelakkan proses pembetulan berlaku secara berulang.
Selain itu, katanya, piagam pelanggan perlu menetapkan tempoh yang jelas bagi dokumen lengkap, pengeluaran kuari dan tindakan selepas kuari dijawab supaya pemohon mempunyai kepastian sepanjang proses pendaftaran.
“Permohonan pendaftaran kelab baharu mestilah dipermudahkan supaya anak muda tidak berdepan dengan birokrasi rumit yang mematahkan semangat mereka,” katanya.








