Accessibility Tools

Skip to main content

Geran pentadbiran khusus bantu kelab akar umbi - YB Abdul Latiff

  • 07 October 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 34

KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Kerajaan dicadang memperkenalkan Geran Pentadbiran Kelab Aktif bagi membantu kelab sukan akar umbi menanggung keperluan pengurusan harian selain memastikan mereka mampu mematuhi kehendak Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

Menurut Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman mekanisme penguatkuasaan dalam Rang Undang-Undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 perlu disertai sokongan yang membolehkan kelab kecil memenuhi kehendak undang-undang, khususnya kelab yang beroperasi dengan sumber kewangan amat terhad.

“Saya tidak mempertikaikan prinsip penguatkuasaan tersebut. Namun, persoalannya di manakah tangan kerajaan yang membantu kelab akar umbi supaya mereka mampu mematuhi semua kehendak ini?” katanya ketika membahaskan RUU Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 pada sidang Dewan Rakyat, semalam.

Sehubungan itu, katanya, geran tersebut boleh disalurkan kepada kelab yang aktif dan mematuhi keperluan seperti menghantar laporan MyKB dalam tempoh ditetapkan, mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan, mengemukakan laporan aktiviti serta memastikan perlembagaan selaras dengan akta dan peraturan.

“Yang ingkar dikuatkuasakan, manakala yang patuh diberikan insentif. Jangan hanya ada ‘tongkat’ untuk menghukum, kita juga mesti ada ‘tangan’ untuk membantu,” katanya.

Tambahnya, dana berkenaan boleh membantu kelab menanggung yuran gabungan, insurans pemain, pembelian peralatan asas, pengangkutan ke pertandingan serta kos pentadbiran harian, selain penarafan bintang boleh diwujudkan berdasarkan tahap keaktifan dan pematuhan kelab.

Pautan berjaya disalin!