Accessibility Tools

Skip to main content

Jangan biar kanser rampas kegembiraan hidup - YB Dato' Dr. Izani

  • 07 October 2026
  • Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media YB Dato' Dr Izani
  • 38

KOTA DARULNAIM, 7 Oktober - Kanser mungkin mengubah sebahagian daripada kehidupan oleh itu jangan biarkan penyakit tersebut merampas seluruh kegembiraan untuk terus menikmati hidup.

Demikian pesanan Ahli Dewan Negeri Kelantan (ADN) YB Dato' Dr Izani Husin ketika menziarahi tiga pejuang kanser yang disifatkan cukup hebat, termasuk dua pesakit kanser payudara, yang tetap mampu tersenyum, berbual dan menikmati kehidupan seperti biasa.

Menurutnya yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan, pesakit tidak seharusnya membiarkan penyakit yang dihadapi menentukan keseluruhan kehidupan mereka.

Sebaliknya, mereka dinasihatkan supaya terus melakukan perkara yang disukai, berkawan, bergembira dan paling penting menjaga emosi.

“Jangan biarkan penyakit menentukan seluruh kehidupan kita.

“Teruskan melakukan perkara yang disukai, berkawan, bergembira dan paling penting, jaga emosi,” katanya di media sosial, pada Selasa.

Ujarnya, apabila seseorang melakukan perkara yang menggembirakan, tubuh akan menghasilkan bahan kimia seperti endorfin, serotonin dan dopamin yang berkait dengan rasa bahagia dan kesejahteraan.

Sebaliknya, katanya, tekanan yang berpanjangan boleh mempengaruhi paras hormon kortisol.

Dalam kesempatan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan RM1,000 daripada Kerajaan Negeri Kelantan kepada pesakit kanser payudara bagi membantu meringankan kos rawatan.

“Semoga sumbangan kecil ini menjadi sedikit kekuatan untuk mereka terus melangkah,” katanya.

Pautan berjaya disalin!