Tiga bakat KFLI ke KBS
-
06 October 2026
-
Oleh: Syamimi Manah | Kredit foto: Media YB Zamakhshari
-
42
KOTA DARULNAIM, 6 Oktober - Tiga bakat muda yang lahir daripada ekosistem pembangunan kepimpinan Kelantan Future Leaders Institute (KFLI) terpilih menyertai MADANI Fellowship anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Mereka ditempatkan di kementerian terpilih bagi tempoh empat bulan bermula September 2026 hingga Januari 2027.
Penyertaan terbabit memberi ruang kepada peserta memperoleh pendedahan secara langsung terhadap dunia dasar dan pentadbiran negara.
Sehubungan itu, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, peluang berkenaan perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk menimba pengalaman, membina kompetensi dan memperluas jaringan.
“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Saudara Baihaqi, Saudara Syakir dan Saudara Firdaus atas kejayaan terpilih menyertai MADANI Fellowship di bawah kelolaan KBS.
“Saya amat menghargai pencapaian ini kerana saudara bertiga merupakan antara bakat muda yang lahir daripada ekosistem pembangunan kepimpinan KFLI, melalui laluan dan pengalaman yang berbeza,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tiga anak muda berkenaan ialah Setiausaha Agung (SUA) Sekretariat KFLI Muhammad Baihaqi Aminudin yang ditempatkan di Kementerian Pertahanan (MINDEF), Ahli Dewan Negeri (ADN) Belia Kelantan lantikan khas Ahmad Syakir Halili yang ditempatkan di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta alumni Kelantan Future Leaders Academy (KFLA) 2025, Muhammad Firdaus Napi yang turut ditempatkan di MINDEF.
Menurut YB Zamakhshari, penempatan di kementerian bukan sekadar satu peluang untuk mendapatkan pengalaman, sebaliknya ruang bagi ketiga-tiga peserta memahami dengan lebih dekat dunia dasar dan pentadbiran negara.
“Peluang berada di kementerian bukan sekadar satu penempatan, tetapi ruang untuk menimba pengalaman, membina kompetensi, memperluas jaringan dan memahami dengan lebih dekat dunia dasar serta pentadbiran negara.
“Gunakanlah peluang ini sebaik-baiknya. Bakat yang ada ialah amanah. Terus belajar, terus berkembang dan apabila tiba masanya, kembalikan pengalaman dan ilmu yang diperoleh untuk manfaat masyarakat, ummah dan negeri Kelantan,” ujarnya.
Beliau turut berpesan supaya ketiga-tiga peserta membawa nama Kelantan dengan baik serta mengamalkan nilai Al-Qawiyy Al-Amin dalam melaksanakan setiap amanah sepanjang mengikuti program berkenaan.
YB Zamakhshari juga merakamkan tahniah kepada Baihaqi, Syakir dan Firdaus atas pemilihan tersebut serta berharap pengalaman yang diperoleh dapat menjadi bekalan untuk mereka terus berkhidmat dan menyumbang kepada masyarakat, ummah dan negeri Kelantan.
“Tahniah Baihaqi, Syakir dan Firdaus. Terus melangkah daripada bakat belia, kita bina pemimpin masa hadapan,” katanya.







