Accessibility Tools

Skip to main content

AKSB sediakan 97 tangki statik atasi gangguan air di Pasir Mas

  • 22 September 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 37

PASIR MAS, 22 September – Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) mengambil langkah proaktif menyediakan 97 tangki statik berkapasiti antara 500 hingga 5,000 gelen setiap satu di beberapa lokasi sebagai penyelesaian jangka pendek terhadap masalah gangguan bekalan air dan tekanan rendah di jajahan Pasir Mas.

Timbalan Pengurus Besar Operasi dan Teknikal AKSB Azlee Aladin berkata, kemudahan itu disediakan bagi membantu penduduk terjejas sementara beberapa projek peningkatan sistem bekalan air dilaksanakan dan dirancang sebagai penyelesaian jangka panjang.

“Bagi penyelesaian jangka pendek, AKSB menyediakan tangki statik di beberapa lokasi yang berkapasiti antara 500 gelen hingga 5,000 gelen setiap satu tangki.

“Antara lokasi berkenaan ialah Penjara Satelit sebanyak satu tangki berkapasiti 5,000 gelen, Sekolah Tahfiz Banggol Chica, Kampung Lumpur dan Pusat Dialisis Jias masing-masing satu tangki berkapasiti 2,000 gelen serta Madrasah Banggol Stol sebanyak satu tangki berkapasiti 1,000 gelen.

“Keseluruhannya, sebanyak 97 tangki statik disediakan di pelbagai lokasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat status bekalan air di Kelantan, khususnya jajahan Pasir Mas kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri (ADN), Ketua Whip Ahli Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM), Ahli-ahli Majlis serta penghulu mukim dan tanpa mukim di Dewan Utama MDPM, di sini, hari ini.

Menurut Azlee, AKSB mengenal pasti lebih 60 kampung di jajahan itu mengalami gangguan bekalan air dan tekanan rendah membabitkan 5,239 daripada keseluruhan 36,364 akaun pengguna.

Kawasan terjejas meliputi enam Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Pasir Mas dan Rantau Panjang dengan DUN Chetok merekodkan jumlah tertinggi, iaitu 2,036 akaun.

DUN Tendong pula membabitkan 1,439 akaun, Meranti (834), Apam Putra (450), Gual Periuk (360) manakala Pengkalan Pasir mencatatkan jumlah terendah dengan 120 akaun terjejas.

Dalam pada itu, Azlee memaklumkan, beberapa projek sedang dilaksanakan dan dirancang sebagai penyelesaian jangka panjang bagi meningkatkan kapasiti serta keupayaan sistem bekalan air di kawasan berkenaan.

Antaranya ialah pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Kelar 2 berkapasiti 25 juta liter sehari (JLH) dengan anggaran kos RM39 juta.

“Projek di bawah ECER ini bermula pada 2023 dan dijangka siap pada Mac 2027,” jelasnya.

AKSB turut melaksanakan pembinaan telaga tiub di tapak tangki air Kubang Kuar dan tapak tangki air Taman Rantau Jaya, Rantau Panjang yang masing-masing berkapasiti 1.5 JLH dengan anggaran kos RM1 juta.

Menurutnya, kedua-dua projek di bawah peruntukan Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan (JSANK) itu telah mula beroperasi masing-masing pada Mei dan Jun lalu.

Sementara itu, antara projek yang berada dalam perancangan ialah pembinaan LRA Machang 2 yang dijangka membekalkan air ke jajahan Pasir Mas menerusi sempadan Bukit Panau.

“Projek ini berkapasiti 70 JLH dengan anggaran kos RM260 juta di bawah peruntukan PETRA dan masih dalam peringkat pelantikan perunding.

“Satu lagi projek dalam perancangan ialah pembinaan Sistem Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Kampung Kelar dan sekitar Pasir Mas dengan anggaran kos RM94.4 juta di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW),” katanya.

Turut hadir, Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff; ADN Gual Periuk YB Kamaruzzaman Mohamad; Ahli-ahli Majlis MDPM serta penghulu mukim dan tanpa mukim.

Pautan berjaya disalin!