Accessibility Tools

Skip to main content

2026 tahun pelaksanaan, jabatan perlu pastikan perancangan diterjemah kepada hasil – MB Kelantan

  • 06 September 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 28

KOTA DARULNAIM, 6 September - Tahun 2026 perlu dimanfaatkan sebagai tahun pelaksanaan dengan semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Kelantan memastikan setiap perancangan diterjemahkan kepada tindakan serta hasil yang memberi manfaat kepada rakyat.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, penjawat awam perlu bergerak daripada perancangan kepada penyampaian, daripada keputusan mesyuarat kepada hasil di lapangan serta daripada sekadar mengurus aktiviti kepada menilai impak sebenar kepada rakyat.

“Pada awal tahun ini, saya tegaskan bahawa tahun 2026 ialah tahun pelaksanaan, tahun untuk kita bergerak daripada perancangan kepada penyampaian, daripada keputusan mesyuarat kepada hasil di lapangan dan daripada sekadar mengurus aktiviti kepada menilai impak sebenar kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kelantan Bersama YAB Menteri Besar Kelantan di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia, Kota Darulnaim, hari ini.

Menurutnya, setiap jabatan dan agensi perlu menilai status pelaksanaan program serta projek masing-masing dengan mengenal pasti perkara yang belum bermula, lewat daripada jadual atau berhadapan isu penyelarasan antara jabatan.

“Status tidak boleh sekadar dinyatakan sebagai ‘dalam tindakan’. Nyatakan tindakan yang diambil, pegawai yang bertanggungjawab, perkara yang perlu diperbaiki serta tempoh penyelesaian,” ujarnya.

Beliau berkata, pelaksanaan agenda melibatkan pembangunan ekonomi, kemudahan asas, perumahan, pelancongan, pembangunan sosial dan kesejahteraan rakyat perlu dipacu secara lebih tersusun serta mempunyai sasaran yang jelas.

Jelasnya, bagi setiap inisiatif yang dilaksanakan, jabatan berkaitan perlu menetapkan ukuran sasaran, mekanisme pelaksanaan, ukuran kejayaan serta jadual penyampaian dengan jelas.

“Isu yang melibatkan keputusan dalam agensi perlu diangkat segera untuk diputuskan dan dikerjakan,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau meminta ketua jabatan menyemak semua KPI, program dan projek tahun 2026 serta menyediakan pelan pecutan bagi perkara yang masih memerlukan tindakan.

Tegasnya juga, setiap isu yang dikenal pasti hendaklah mempunyai pegawai bertanggungjawab, tarikh sasaran, tindakan penyelesaian dan bukti penutupan isu.

“Program yang berimpak langsung kepada rakyat, khususnya perumahan, kebersihan, kebajikan dan penyelesaian masalah rakyat hendaklah diberi keutamaan,” katanya.

Di samping itu, Dato’ Mohd Nassuruddin turut menekankan penyelarasan rentas jabatan perlu dipercepatkan dan perbezaan pandangan atau kelemahan dalam koordinasi tidak boleh dijadikan alasan sehingga menjejaskan pelaksanaan sesuatu program atau projek.

Menurutnya, prestasi pengurusan juga perlu dinilai berdasarkan hasil dan impak yang dicapai, bukan sekadar jumlah mesyuarat, program atau aktiviti yang dilaksanakan.

“Penjelasan semata-mata tidak menyelesaikan masalah rakyat. Yang diperlukan adalah tindakan yang jelas, tempoh penyelesaian yang konsisten dan pemantauan yang berterusan sehingga selesai,” jelasnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri kini memasuki fasa akhir tahun dan baki tempoh 2026 perlu dimanfaatkan sebaiknya bagi memastikan setiap perkara yang telah dirancang dapat dilaksanakan mengikut sasaran.

“Marilah kita jadikan baki tahun 2026 sebagai tempoh untuk buktikan bahawa apa yang dirancang dapat dilaksanakan, apa yang dijanjikan dapat disampaikan dan apa yang menjadi masalah dapat kita selesaikan bersama,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!