Accessibility Tools

Skip to main content

Pelajar tahfiz belajar bidang agromakanan melalui kursus tanaman anggur dan tin

  • 07 September 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim | Kredit foto: Media Dato' Tuan Saripudin
  • 39

KOTA DARULNAIM, 7 September — Pendedahan bidang agromakanan dan keusahawanan pertanian kepada golongan muda khususnya pelajar tahfiz perlu terus diperkasa bagi membuka ruang kepada mereka mengenali potensi bidang pertanian sebagai pilihan pada masa hadapan.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, program berbentuk teori dan praktikal seperti Kursus Pendedahan Tanaman Anggur dan Tin mampu memberikan pengalaman serta pengetahuan asas berkaitan pengurusan tanaman kepada peserta.

"Pendedahan berkenaan amat baik dalam memberikan pengalaman kepada golongan muda khususnya pelajar tahfiz terhadap bidang agromakanan dan keusahawanan pertanian," katanya menerusi media sosial, pada Ahad.

Terdahulu, beliau merasmikan Kursus Pendedahan Tanaman Anggur dan Tin yang berlangsung selama tiga hari dua malam di Kebun Anggur dan Tin, Jeram Mengaji.

Program anjuran Kolej Komuniti Kok Lanas itu disertai 20 peserta daripada dua institusi tahfiz, masing-masing 12 peserta dari Maahad Tahfiz Al-Quran Abu Bakar, Tanah Merah dan lapan peserta dari Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Riyadh, Rantau Panjang.

Dalam pada itu, kursus berkenaan dikendalikan Nur Taufiq Yusuf dari Po-Land GRAPE Machang yang memberikan pendedahan secara teori dan praktikal berkaitan kaedah penanaman serta pengurusan tanaman anggur dan tin.

Sehubungan itu, Dato’ Tuan Mohd Saripudin berharap ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang kursus berkenaan dapat dimanfaatkan oleh para peserta serta menjadi pencetus kepada minat untuk menceburi bidang pertanian pada masa akan datang.

Pautan berjaya disalin!