Sembilan peniaga mangsa kebakaran terima sumbangan awal
-
06 September 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
51
TUMPAT, 6 September - Sembilan peniaga yang terjejas dalam kebakaran membabitkan beberapa rumah kedai dan kios di hadapan Wisma MDT Wakaf Bharu, di sini, pada Sabtu menerima sumbangan awal daripada Tabung Serambi Mekah.
Sumbangan disampaikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah ketika menyantuni mangsa dan bertanya khabar mereka selepas kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3 pagi itu.
Kebakaran berkenaan membabitkan beberapa premis termasuk Kedai Kak Yah Teratai, 7-Eleven, Kedai Makan Kak Ha, Selera Kita, Kios Mat Yie Burger, Mr Churros, Kopi Pakdin, Ayam Pak Din dan Kelas Al-Quran.
Sebelum itu, YB Mohd Rusli turut menyampaikan sumbangan nasi kepada Pasukan Bomba dan Penyelamat yang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran sejak pukul 3 pagi.
Beliau merakamkan penghargaan kepada anggota bomba atas usaha, pengorbanan dan khidmat bakti yang dicurahkan dalam menangani kejadian itu.
Penghargaan turut diberikan kepada orang ramai yang membantu memadamkan kebakaran.
Beliau berharap semua peniaga yang terjejas diberikan kekuatan dan kesabaran untuk menghadapi ujian berkenaan serta dipermudahkan segala urusan untuk bangkit semula.
"Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan dan menggantikan setiap kehilangan dengan rezeki yang lebih baik," katanya dalam media sosial, pada Sabtu.










