MUNIF 2.0 sepakat gerakkan tindakan strategik demi ummah - Dr Khalil Abdul Hadi
-
04 September 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
26
KOTA BHARU, 4 September – Forum Antarabangsa Ummah Islamiah Kali Ke-2 (MUNIF 2.0) menegaskan keperluan memperkukuh penyelarasan tindakan strategik dan praktikal dalam mendepani cabaran yang dihadapi masyarakat Islam, khususnya di Palestin, Iran serta beberapa wilayah lain di dunia Islam.
Pengerusinya, YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata cabaran yang dihadapi masyarakat Islam ketika ini memerlukan tindakan yang bersatu, strategik dan berterusan, bukan sekadar simpati pasif.
Menurutnya, perbincangan menerusi Sidang Meja Bulat bertemakan Solidariti Bersama Iran dan Palestin telah menegaskan komitmen untuk memperkasakan rangkaian strategik antarabangsa sebagai satu blok pemikiran dan tindakan yang padu dalam mendepani penindasan geopolitik global.
“Cabaran-cabaran yang dihadapi oleh saudara-saudari kita di Palestin, Iran, Lebanon, Yemen dan di seluruh pelosok dunia Islam memerlukan lebih daripada sekadar simpati pasif ia menuntut tindakan yang strategik, bersatu dan berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup MUNIF 2.0 di sebuah hotel, di sini, semalam.
Selain itu, beliau berkata, forum tersebut turut memberi tumpuan kepada pembangunan strategi sokongan praktikal bagi kawasan yang terjejas menerusi saluran kemanusiaan, pendidikan dan diplomasi secara langsung.
Dalam pada itu, MUNIF 2.0 turut menyatakan komitmen untuk mengaktifkan Jawatankuasa Kerja Bersama yang telah ditubuhkan sejak edisi pertama forum bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan serta pemantauan terhadap setiap keputusan yang diluluskan.
Menurutnya lagi, usaha mendepani sikap berat sebelah media arus perdana juga perlu diberikan perhatian melalui pembinaan dan pemerkasaan naratif Islam yang telus, benar dan bersatu.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh delegasi antarabangsa, para alim ulama, pemimpin, wakil gerakan Islam, pertubuhan bukan kerajaan, peserta dan semua pihak yang terlibat kerana menjadikan MUNIF 2.0 satu langkah ke hadapan ke arah penyelarasan usaha nyata demi kemaslahatan ummah.










