Accessibility Tools

Skip to main content

Pameran SG4 tampil potensi ekonomi empat negeri, perkukuh kerjasama bangunkan ekonomi ummah

  • 04 September 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 59

KOTA BHARU, 4 September – Pameran SG4 sempena Karnival Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) 2026  menggambarkan potensi besar yang boleh dibangunkan apabila negeri-negeri SG4 berkongsi kekuatan bagi memperkukuh pembangunan ekonomi.

Pengerusi Majlis Menteri Besar SG4 YB Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penganjuran pameran berkenaan menjadi antara wadah untuk mengetengahkan potensi serta kekuatan ekonomi yang dimiliki oleh empat negeri SG4 iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Menurutnya, perkongsian kekuatan antara negeri berkenaan mampu membuka ruang lebih luas untuk pembangunan ekonomi secara bersama, selain memperkukuh jaringan antara syarikat dan agensi.

“Pameran hari ini bukan sekadar untuk memperkenalkan syarikat tetapi menggambarkan potensi besar yang boleh dibangunkan apabila negeri-negeri SG4 berkongsi kekuatan untuk pembangunan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pameran SG4 sempena Karnival PMBI 2026 di PUTIK, di sini, hari ini.

Pameran berkenaan mengetengahkan sebanyak 46 pameran daripada agensi kerajaan serta pemain industri melibatkan empat negeri SG4, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat mengenai pelbagai sektor dan potensi ekonomi yang ditawarkan.

Sementara itu, Pengerusi SG4 yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah YB Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, segala kekuatan yang dimiliki oleh negeri-negeri SG4 perlu digerakkan secara bersama bagi membantu perjuangan Islam serta membangunkan ekonomi ummah.

“Kita bersama pada petang ini meraikan pemain-pemain industri SG4 yang sudi bersama untuk membangunkan ekonomi ummah.

“Kita harus gerakkan segala kekuatan kita untuk bantu perjuangan Islam dan membangunkan ekonomi ummah,” ujarnya.

Beliau turut menggalakkan masyarakat membina budaya menyimpan dan memiliki aset yang mempunyai nilai, termasuk emas menerusi rakan strategik Kelantan Gold Trade.

Menurutnya, masyarakat bukan sahaja perlu melihat pembelian emas sebagai satu urusan membeli, tetapi sebagai usaha membina budaya menyimpan dan memiliki aset bernilai.

“Nilai emas pada masa hadapan berpotensi berubah mengikut keadaan pasaran. Sebab itu, yang penting ialah kita membina budaya menyimpan dan memiliki aset yang mempunyai nilai.

“Inilah yang kita mahu usahakan. Kita bukan sekadar membeli untuk membeli, tetapi kita membeli untuk menyimpan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Mohamad Nashriff Daud mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke pameran berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi pelaksana, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) yang menyediakan lokasi bagi menjayakan penganjuran Pameran SG4.

Pameran SG4 merupakan antara pengisian Karnival PMBI 2026 yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pemain industri dari Kelantan, Terengganu, Kedah serta Perlis dalam usaha memperkenalkan potensi ekonomi dan memperkukuh kerjasama antara negeri SG4.

Pautan berjaya disalin!