Accessibility Tools

Skip to main content

MUNIF 2.0 satukan 183 perwakilan, perkukuh solidariti ummah sejagat

  • 04 September 2026
  • Oleh: Norzana Razaly
  • 38

KOTA BHARU, 4 September – Penyertaan 183 perwakilan dari 20 negara pada Muslim Ummah International Forum 2.0 (MUNIF 2.0) di Kelantan memperlihatkan kesatuan suara umat Islam merentasi sempadan dalam memperkukuh solidariti serta mencari pendekatan bersama bagi mendepani krisis kemanusiaan dan cabaran ummah sejagat.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, masa depan Islam perlu terus dilakar dengan penuh keyakinan tanpa berputus asa, khususnya ketika umat berdepan pelbagai konflik dan krisis kemanusiaan.

Menurutnya, keadaan semasa menuntut umat Islam memperkukuh solidariti, mempererat kesepakatan serta menggembleng kekuatan secara bersama.

“Sebanyak 183 perwakilan dari 20 negara berhimpun di Kelantan menerusi MUNIF 2.0, sekali gus memperlihatkan kesatuan suara umat Islam merentasi sempadan dalam memperjuangkan nasib ummah sejagat,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutup MUNIF 2.0 di sebuah hotel, di sini, semalam.

Antara negara yang menghantar delegasi ialah Turkiye, Pakistan, India, Sri Lanka, Bangladesh, Indonesia, Filipina, Yaman, Palestin, Iran dan United Kingdom.

Dato' Mohd Nassuruddin juga berpandangan, penghimpunan ulama, pemikir dan pemimpin gerakan Islam dari pelbagai pelosok dunia itu turut membuktikan perbezaan geografi dan bahasa bukan penghalang untuk membina kesepakatan demi maslahat ummah.

Jelasnya, ukhuwah Islamiyah perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan nyata melalui inisiatif dan kerjasama yang mampu memelihara maruah insan serta membela masyarakat yang berdepan penindasan dan penderitaan.

“Hati saya sentiasa terpanggil dan prihatin terhadap isu-isu yang melanda umat Islam pada hari ini. Kita tidak boleh hanya menjadi pemerhati terhadap krisis dan penderitaan yang dialami oleh saudara-saudara kita di Palestin, Lubnan, Iran dan tempat-tempat lain.

“Ukhuwah Islamiyah harus diterjemahkan daripada sekadar syiar kepada tindakan yang nyata melalui inisiatif dan kerjasama yang memelihara maruah insan serta membela mereka yang dizalimi,” ujarnya.

Beliau berharap perbincangan serta resolusi yang dihasilkan sepanjang MUNIF 2.0 tidak terhenti sebagai wacana sebaliknya menjadi asas kepada kerjasama lebih tersusun dalam menghadapi cabaran semasa dunia Islam.

“Saya berharap agar segala perbincangan dan resolusi yang dihasilkan melalui forum ini dapat memperkukuh perpaduan ummah serta membuka semangat baharu dalam mendepani cabaran semasa,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan MUNIF 2.0 serta menjadikan Kelantan medan pertemuan antarabangsa bagi mempertautkan pemikiran, kepimpinan dan solidariti umat Islam.

Pautan berjaya disalin!