Accessibility Tools

Skip to main content

Dahulukan ancaman lebih besar, solidariti Palestin perlu rentasi perbezaan - DS Tuan Ibrahim

  • 03 September 2026
  • Oleh: Norzana Razaly
  • 31

KOTA BHARU, 3 September – Perbezaan mazhab dalam kalangan umat Islam tidak seharusnya mengaburkan keutamaan lebih besar untuk mempertahankan Palestin serta menghadapi tekanan geopolitik yang mengancam kepentingan dunia Islam.

Ahli Parlimen Kubang Kerian YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata perbincangan mengenai Iran dalam konteks perjuangan Palestin perlu dilihat melalui kerangka strategi dan tindakan negara berkenaan, bukan semata-mata menerusi perbezaan Sunni-Syiah.

Menurutnya, Iran memperlihatkan keberanian mengambil pendirian tegas dalam mempertahankan Palestin termasuk melalui tindakan ketenteraan selain berhadapan secara langsung dengan Amerika Syarikat dan Israel serta kepentingan kedua-duanya di rantau berkenaan.

Jelasnya, pendekatan terhadap persoalan itu perlu mengambil kira pertimbangan fiqh siyasah dengan menilai keutamaan antara dua kemudaratan serta kesannya terhadap kepentingan umat Islam secara keseluruhan.

“Dalam konteks ini, kita perlu melihat Iran, bukan semata-mata Syiah. Iran berani membela Palestin secara ketenteraan, mempertahankan negaranya daripada Amerika Syarikat dan Israel serta bertindak terhadap kepentingan kedua-duanya.

“Apabila berhadapan dua kemudaratan, pertimbangannya ialah memilih kemudaratan yang lebih ringan bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Muslim Ummah International Forum 2.0 (MUNIF 2.0) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Dato' Sri Tuan Ibrahim turut mengemukakan beberapa kaedah fiqh yang menurutnya relevan dalam memahami pertimbangan politik dan kepentingan awam.

Antaranya, prinsip memilih kemudaratan yang lebih ringan apabila berhadapan dengan dua kemudaratan.

Beliau turut mengetengahkan prinsip menolak kemudaratan hendaklah didahulukan daripada memperoleh kemaslahatan.

Satu lagi kaedah yang diketengahkan ialah apabila sesuatu keadaan menjadi sempit atau sukar, diberikan keluasan dan kemudahan, manakala apabila keadaan menjadi terlalu luas, batasan yang sewajarnya perlu dikenakan.

Tambahnya, kaedah-kaedah tersebut merupakan antara prinsip perundangan Islam yang boleh menjadi kerangka pertimbangan dalam fiqh siyasah, khususnya apabila pembuat keputusan berhadapan situasi kompleks yang melibatkan maslahat dan mudarat secara serentak.

Dalam konteks Palestin, beliau berpandangan umat Islam perlu mempunyai keupayaan membezakan antara perbezaan dalaman yang boleh diurus dengan ancaman geopolitik yang membawa implikasi lebih besar terhadap nyawa, kedaulatan dan masa depan masyarakat Islam.

"Pendekatan itu tidak bermaksud menafikan kewujudan perbezaan teologi antara Sunni dan Syiah sebaliknya meletakkan sesuatu perbezaan pada neraca keutamaan berdasarkan keadaan, maslahat serta tahap kemudaratan yang sedang dihadapi," jelasnya. 

MUNIF 2.0 yang menghimpunkan 183 delegasi dari 19 negara menjadi medan perbincangan mengenai pengukuhan jaringan strategik antarabangsa, advokasi terhadap masyarakat yang terkesan akibat konflik serta pembentukan tindakan bersama dalam menghadapi cabaran geopolitik global.

Pautan berjaya disalin!