Accessibility Tools

Skip to main content

MB Kelantan rai sukarelawan Khidmat Malaysia

  • 03 September 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 29

KOTA BHARU, 3 September - Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud meraikan sukarelawan Khidmat Malaysia yang sentiasa tampil membantu masyarakat ketika berdepan pelbagai bencana.

Keraian tersebut dizahirkan melalui program Apresiasi Sukarelawan Bencana Khidmat Malaysia di dewan terbuka kediaman rasmi Menteri Besar JKR10, di sini, hari ini.

Katanya, kerja kebajikan dan khidmat yang dilaksanakan sukarelawan Khidmat Malaysia mendapat perhatian serta menjadi sebutan rakyat Malaysia, khususnya apabila berlaku bencana.

“Bila berlaku bencana, sukarelawan Khidmat Malaysia akan ada.

“Kita amat menghargai segala khidmat yang diberi oleh sukarelawan Khidmat Malaysia bila berdepan dengan apa-apa bencana, khususnya dalam membantu rakyat Kelantan ketika berdepan musibah,” katanya.

Ujarnya,  segala usaha dan khidmat yang diberikan kepada masyarakat diharapkan mendapat balasan setimpal daripada Allah SWT.

Mengulas lanjut, beliau memetik sabda Nabi SAW yang bermaksud sesiapa yang membantu memudahkan kesusahan orang lain, Allah SWT akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat.

Sementara itu, Pengerusi Khidmat Malaysia yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa YB Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary menzahirkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar Kelantan atas kesudian meraikan sukarelawan Khidmat Malaysia yang hadir dari seluruh negara.

Katanya, Khidmat Malaysia memikul tanggungjawab besar dalam membantu masyarakat apabila berlaku pelbagai bentuk bencana.

Ujarnya, antara cabaran terbesar tahun ini ialah kejadian kebakaran di Sabah yang menyaksikan sukarelawan Khidmat Malaysia turun padang selama berbulan-bulan bagi menyantuni mangsa kebakaran.

“Kita banyak salurkan bantuan hasil daripada dana dan kutipan derma seluruh rakyat Malaysia, khususnya yang diusahakan oleh petugas-petugas Khidmat Malaysia,” jelasnya.

Menurutnya lagi, prinsip yang dipegang Khidmat Malaysia adalah berusaha meringankan beban dan kesulitan yang dihadapi saudara mereka.

“Inilah semangat yang memotivasikan kita untuk terus istiqamah dengan kerja-kerja amal jamaie bersama dengan Khidmat Malaysia,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!