Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan komited jadi wadah solidariti antarabangsa demi ummah

  • 03 September 2026
  • Oleh: Norzana Razaly
  • 33

KOTA BHARU, 3 September – Kelantan kekal komited menjadi wadah antarabangsa bagi memperkukuh dialog konstruktif, membina solidariti dan merumus strategi yang dapat diterjemahkan kepada tindakan demi kepentingan ummah sejagat.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata komitmen itu selaras dengan pendirian negeri yang sejak sekian lama istiqamah terhadap pentadbiran berteraskan Islam, keadilan sosial serta perjuangan kemanusiaan antarabangsa.

Menurutnya, berpandukan falsafah Membangun Bersama Islam, Kerajaan Negeri Kelantan bersedia memainkan peranan sebagai medan pertemuan pemimpin, ilmuwan dan masyarakat sivil untuk membincangkan isu strategik yang menyentuh kepentingan dunia Islam.

“Menjadi harapan saya agar MUNIF 2.0 muncul sebagai titik lonjakan yang bersejarah.

“Biarlah forum ini dikenang kerana wacana dan perbahasannya yang menginspirasi serta kerana resolusi yang konkrit, jaringan institusi yang kukuh serta pelan tindakan yang berjaya dibentuk sepanjang berlangsungnya forum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Muslim Ummah International Forum 2.0 (MUNIF 2.0) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Program anjuran Pertubuhan Pencinta Baitul Maqdis dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) itu menghimpunkan 183 delegasi dari 19 negara.

Antara negara yang menghantar delegasi ialah Turkiye, Pakistan, India, Sri Lanka, Bangladesh, Indonesia, Filipina, Thailand, Yaman, Palestin, Iran dan United Kingdom.

Sementara itu, Pengarah MUNIF 2.0 Dr. Aminurrasyid Yatiban memaklumkan, objektif program berskala global itu antara lain bertujuan mengukuhkan jaringan strategik antarabangsa bagi membentuk satu blok pemikiran dan tindakan untuk menangani krisis geopolitik global.

"Forum ini turut memberi tumpuan kepada usaha meneruskan advokasi dan pembelaan terhadap rakyat Palestin, Lubnan, Iran dan Yaman menerusi strategi sokongan yang lebih praktikal selain menyuarakan solidariti terhadap kedaulatan serta hak rakyat negara Islam yang berdepan tekanan luar.

Selain itu, penganjuran MUNIF 2.0 menyasarkan usaha memperkasakan pelaksanaan resolusi bersama melalui pengaktifan semula Jawatankuasa Bertindak Bersama yang ditubuhkan pada MUNIF 1.0," jelasnya.

Tambahnya, forum itu juga berhasrat membina naratif Islam yang lebih bersatu dalam mendepani naratif negatif media arus perdana sekali gus memperkukuh keupayaan ummah untuk mengemukakan pandangan dan pendirian secara lebih tersusun di peringkat antarabangsa.

Pautan berjaya disalin!