Accessibility Tools

Skip to main content

Ekspo PMBI 2026 martabat usahawan Muslim, perkasa penguasaan ekonomi

  • 03 September 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 24

KOTA BHARU, 3 September - Ekspo Keusahawanan dan Jualan Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) 2026 menjadi antara platform penting dalam usaha memartabatkan golongan usahawan, khususnya dalam memperkukuh penguasaan ekonomi umat Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Ekspo dan Jualan PMBI yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Pasir YB Mohamad Nasriff Daud berkata berkata, program berkenaan penting kepada Kerajaan negeri selaras dengan konsep negara berkebajikan yang menekankan kewujudan usahawan yang jujur dan amanah yang sering ditekankan Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang. Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud.

Katanya, perkara itu penting kerana Rasulullah SAW sendiri memberi perhatian terhadap penguasaan ekonomi ketika berhijrah dari Mekah ke Madinah.

“Antara benda yang dilakukan oleh baginda adalah menguasai ekonomi dan benda ini penting,” katanya ketika memberi ucapan alu-aluan di karnival tersebut di PUTIK Pengkalan Chepa, semalam.

Menurutnya, lebih 100 gerai disediakan pada ekspo berkenaan yang  melibatan kumpulan usahawan antaranya pengusaha Sup Keting dari Kedah dan Kelab Usahawan Haraki.

“Ini adalah beberapa contoh usahawan yang kita lihat penglibatan mereka untuk memastikan penguasaan kita dalam ekonomi selain daripada penguasaan kita dalam bidang-bidang lain,” jelasnya.

Ekspo berkenaan berlangsung dari 2 hingga 5 September dengan pelbagai program dianjurkan, termasuk pertandingan mewarna, pertandingan ‘bbidah’, persembahan kumpulan Hijaz, program bersama orang asli, Program Hari Kanak-Kanak Sedunia serta program bersama cef usahawan yang menjadi ikon kepada Kerajaan negeri.

Sehubungan itu, YB Mohamad Nasriff mengajak peniaga mengambil peluang yang disediakan menerusi ekspo berkenaan, manakala pengunjung pula diseru membantu usahawan tempatan dengan membeli produk yang dijual.

“Kita berharap kepada semua peniaga agar mengambil peluang ini, begitu juga pengunjung, marilah kita bersama-sama juga membantu usahawan-usahawan kita.

“Belilah produk-produk Muslim. Saya yakin pada hari ini kesemuanya adalah produk-produk Muslim. Kita pastikan ekonomi itu adalah menjadi milik kita,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalamannya ketika berkunjung ke Sri Lanka bagi menghadiri satu konvensyen usahawan membabitkan peserta dari India, Pakistan dan beberapa negara lain.

Katanya, perkara menarik yang dikongsikan presiden dalam ucapan pada konvensyen itu ialah prinsip bahawa aktiviti perniagaan bukan semata-mata untuk mencari keuntungan, sebaliknya menjadi jalan untuk mendapatkan keredaan Allah SWT.

“Kita berniaga dengan mengharapkan reda Allah. Semangat inilah yang kita perlu terapkan dalam kalangan usahawan,” katanya.

Pautan berjaya disalin!