Accessibility Tools

Skip to main content

Lebih 100 gerai meriahkan Ekspo Keusahawanan dan Jualan PMBI 2026

  • 03 September 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 38

KOTA BHARU, 3 September - Lebih 100 gerai memeriahkan Ekspo Keusahawanan dan Jualan PMBI 2026 yang terdiri daripada usahawan bumiputera dari seluruh Malaysia.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata kehadiran peniaga terbabit wajar dihargai kerana mereka sentiasa hadir bagi menjayakan program keusahawanan silang negeri.

Beliau turut merakamkan jutaan terima kasih, setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua peserta ekspo serta pemilik gerai yang hadir ke negeri Kelantan.

"Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan serta tahniah kepada semua peserta ekspo dan pemilik gerai yang jumlahnya tidak kurang daripada 100 buah gerai.

"Mereka sebenarnya terdiri daripada peniaga-peniaga tetap setiap kali karnival keusahawanan diadakan. Inilah orang yang sentiasa datang dan menjayakan ekpo yang dibuat di seluruh negara," katanya ketika merasmikan ekspo tersebut di PUTIK, Pengkalan Chepa, malam tadi.

Beliau mewakili pihak kerajaan negeri  serta rakyat negeri Kelantan turut mengalu-alukan kehadiran semua peserta ekspo dan pemilik gerai ke Kelantan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan peniaga supaya memastikan rezeki yang dicari datang daripada sumber halal serta perniagaan yang dijalankan menepati hukum syariah bagi memperoleh pendapatan yang berkat.

"Allah SWT memberikan suatu yang sangat jelas betapa pentingnya kita berusaha. Usaha yang terbesar dalam kehidupan manusia bagi mencari rezeki adalah perniagaan.

"Namun dalam pada kita mencari rezeki seperti berniaga, hendaklah sentiasa ingat bahawa rezeki yang kita cari mesti sumbernya halal dan perniagaan yang dilakukan menepati hukum syariah supaya pendapatan yang diperoleh itu berkat.

"Ini tiga unsur utama dalam mencari rezeki ialah memastikan sumbernya halal, cara atau kaedah perniagaan menepati syariat dan hasil yang diperoleh mendapat keberkatan daripada Allah SWT," katanya.

Tambahnya, peniaga juga perlu memastikan apa yang diusahakan mesti halalan toyyiba.

"Pastikan kalau kita jual barangan dan sebagainya, barangan dan pakaian tidak ada cacat celanya sebagaimana yang diiklankan.

"Kalau kita menjual barang makanan dan sebagainya, pastikan barang makanan yang kita jual dalam keadaan yang baik dan sempurna," katanya.

Mengulas mengenai kemunculan Kumpulan Hijaz yang membuat persembahan pada program tersebut, Dato' Dr. Mohamed Fadzli berkata, kumpulan berkenaan masih mempunyai ramai peminat.

Katanya, kehadiran Hijaz pada malam berkenaan turut mengimbau kembali zaman kegemilangan nasyid suatu ketika dahulu.

"Kita mahukan supaya nasyid ini dikembalikan kegemilangannya.

"Untuk tujuan tersebut, insya Allah bersempena dengan sambutan 36 tahun Kerajaan Kelantan dengan dasar 'Membangun Bersama Islam' pada bulan Oktober nanti, salah satu daripada acara besar yang akan kita adakan adalah karnival nasyid," katanya.

Menurutnya, menerusi karnival berkenaan, semua kumpulan nasyid yang pernah masyhur di Malaysia pada suatu ketika dahulu akan dihimpunkan.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Ekspo Keusahawanan dan Jualan PMBI 2026 yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Pasir YB Nasrif Daud dan timbalannya, YB Saizol Ismail.

Pautan berjaya disalin!