Penganjur Semarak Merdeka 3.0 Parlimen Jeli berdepan saman, kompaun
-
02 September 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
175
KOTA DARULNAIM, 2 September - Penganjur program Semarak Merdeka 3.0 Parlimen Jeli yang berlangsung di Plaza IMT GT, Bukit Bunga, pada 30 Ogos berdepan kemungkinan dikenakan tindakan saman atau tawaran kompaun selepas seorang penyanyi wanita membuat persembahan di pentas terbuka.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata persembahan penyanyi wanita itu didapati melanggar syarat permit hiburan yang diluluskan bagi program berkenaan.
Katanya, laporan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mendapati permohonan permit hiburan program itu menyenaraikan empat artis lelaki untuk membuat persembahan termasuk dikir barat.
“Dalam siasatan kita mendapat laporan daripada PBT bahawasanya program tersebut ada permohonan permit hiburan dan disenaraikan empat orang artis, semuanya lelaki untuk membuat persembahan termasuk dikir barat.
“Itu tidak ada masalah. Yang menjadi masalah ialah apabila seorang penyanyi wanita naik ke pentas menyampaikan dua buah lagu yang mana telah melanggar syarat lesen atau permit hiburan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat Exco di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim hari ini bagi mengulas video persembahan penyanyi wanita terbabit yang tular di TikTok dan Facebook ketika sambutan Semarak Merdeka 3.0 Parlimen Jeli pada Ahad lalu.
YB Hilmi juga memaklumkan, pihaknya sudah mengarahkan Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) untuk memanggil penganjur bagi mendapatkan penjelasan berhubung pelanggaran syarat permit berkenaan.
Menurutnya, perkara itu turut dilaporkan dalam mesyuarat Exco hari ini sebelum pihaknya mengarahkan penasihat undang-undang mengkaji tindakan selanjutnya terhadap penganjur.
“Kita menyerahkan kes ini kepada Penasihat Undang-Undang negeri untuk memutuskan sama ada untuk meneruskan dengan tindakan saman ataupun tawaran kompaun kerana melibatkan penganjuran oleh pihak wakil rakyat kawasan tersebut” jelasnya.
Berdasarkan ringkasan laporan dan siasatan aduan awam berhubung program itu, Semarak Merdeka 3.0 Parlimen Jeli berlangsung pada 30 Ogos 2026 dari pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam di Plaza IMT GT, Bukit Bunga, Tanah Merah.
Program berkenaan membabitkan aktiviti dikir barat dan sambutan ambang merdeka.
Ulasan polis bertarikh 21 Jun 2026 adalah menyokong, manakala Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan, Peniaga Kecil dan Pembangunan Usahawan Bilangan 4 Tahun 2026 bersetuju memperakukan permohonan dengan terma dan syarat yang ditetapkan.
Kadar permit ditetapkan sebanyak RM750, manakala cagaran pematuhan adalah RM1,000.
Hasil aduan dan siasatan mendapati penganjur melanggar syarat am yang ditetapkan apabila membenarkan artis wanita membuat persembahan di tempat terbuka atau awam.
Artis wanita berkenaan, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail dilaporkan menyanyikan dua lagu iaitu Abe Janji dan Bey Soba Bey antara pukul 11.30 malam hingga 11.40 malam di atas pentas awam.
MDTM kini dalam tindakan melengkapkan siasatan dan menyediakan satu kompaun di bawah Seksyen 13(2) berkaitan pelanggaran syarat yang ditetapkan.
Berdasarkan laporan itu, kesalahan berkenaan boleh dikompaunkan tidak melebihi 50 peratus daripada jumlah denda RM30,000.
Tambah YB Hilmi, kerajaan negeri menyokong penganjuran hiburan yang mematuhi peraturan, namun pada masa sama semua pihak termasuk syarikat pengurusan acara perlu cakna dan mematuhi Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 2025 serta garis panduan hiburan di Kelantan.
“Kita menyokong hiburan yang menurut peraturan dan dalam masa yang sama pihak yang tidak cakna untuk mematuhi peraturan maka mereka telah melanggar enakmen hiburan yang telah diluluskan,” ujarnya.








