Accessibility Tools

Skip to main content

Peniaga disaran sesuaikan strategi perniagaan ikut pasaran

  • 01 September 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 29

KOTA DARULNAIM, 1 September – Para peniaga perlu berani menyesuaikan strategi perniagaan mengikut perubahan cara pembelian masyarakat, perkembangan jualan dalam talian serta persaingan harga yang semakin terbuka bagi memastikan kelangsungan perniagaan dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Guchil merangkap Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata kekuatan sesebuah persatuan peniaga bukan hanya bergantung kepada kepimpinan, sebaliknya turut didukung oleh kesatuan, sokongan dan kerjasama seluruh ahlinya.

“Peniaga hari ini juga perlu berani menyesuaikan diri dengan perubahan cara membeli masyarakat, perkembangan jualan dalam talian serta persaingan harga yang semakin terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi perkongsian di media sosialnya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pemborong dan Peruncit Pasar Borong Sri Guchil Kali Ke-20/2026 di Pasar Borong Sri Guchil, di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh ahli Persatuan Pemborong dan Peruncit Pasar Borong Sri Guchil atas usaha mengekalkan pengurusan persatuan tersebut sehingga terus bergerak aktif.

Beliau turut mengingatkan, aktiviti perniagaan juga boleh menjadi jalan untuk memperoleh pahala apabila dilaksanakan dengan penuh kejujuran, amanah serta menjaga hak pelanggan.

"Islam mengangkat kedudukan peniaga yang benar dan amanah, justeru golongan peniaga perlu memastikan urusan perniagaan dilaksanakan berlandaskan nilai dan akhlak yang baik," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap Persatuan Pemborong dan Peruncit Pasar Borong Sri Guchil terus kukuh dan maju serta mampu melahirkan generasi pelapis peniaga yang lebih kreatif dan berdaya saing.

Pautan berjaya disalin!