Accessibility Tools

Skip to main content

JPV Kelantan raih tiga anugerah berprestij di MAHA 2026

  • 01 September 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 30

KOTA DARULNAIM, 1 September - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Kelantan meraih tiga anugerah berprestij sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang sedang berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Serdang Selangor.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata pengiktirafan itu membabitkan Anugerah Perdana Aplikasi Teknologi Pembiakan (ART) 2026 dan Anugerah Pencapaian Tertinggi Ternakan Diberi Perkhidmatan Permanian Beradas 2024–2025.

Katanya, satu lagi pengiktirafan ialah Anugerah Tangan Emas Jurusuntik Permanian Beradas yang dianugerahkan kepada Wan Azlan Wan Hussin.

"​Kejayaan ini adalah hasil komitmen, kerja keras dan pengorbanan seluruh warga Veterinar Kelantan, bersama sokongan kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan serta para penternak.

"Semoga pengiktirafan ini menjadi pembakar semangat untuk terus memperkasa sektor penternakan dan mengharumkan nama Kelantan di persada nasional," katanya di media sosial, pada Isnin.

Beliau memaklumkan,  sempena MAHA 2026, JPV Negeri Kelantan menampilkan pelbagai pameran berkaitan sektor penternakan, khususnya ruminan dan unggas.

"Pelbagai baka dan hasil inovasi dalam bidang penternakan turut dipamerkan, selain perkongsian berkaitan pengurusan ternakan, kesihatan haiwan serta teknologi yang dapat membantu meningkatkan produktiviti penternak.

"​Sektor ternakan merupakan antara komponen penting dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara.

"Justeru, usaha memperkasakan penternak melalui teknologi, ilmu dan sistem pengurusan yang baik perlu terus diberi perhatian," jelasnya.

Beliau turut berharap pameran seperti di MAHA dapat memberi manfaat serta membuka ruang kepada perkongsian ilmu dan kerjasama lebih luas dalam membangunkan industri ternakan, termasuk di Kelantan.

Pautan berjaya disalin!