Langkah Merdeka DUN Meranti satukan MB Kelantan-500 rakyat
-
31 August 2026
-
Oleh: Norzana Razaly
-
25
PASIR MAS, 31 Ogos – Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menterjemahkan semangat kemerdekaan melalui penyertaan dalam program Langkah Merdeka DUN Meranti 2026 dengan berjalan kaki sejauh kira-kira empat kilometer bersama 500 rakyat di Meranti, hari ini.
Program anjuran Pusat Khidmat DUN Meranti itu menjadi wadah menyemarakkan semangat patriotisme dan kebersamaan rakyat sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69.
Acara bermula di Tapak Pasar Pagi Kampung Meranti kira-kira pukul 8 pagi sebelum peserta melalui beberapa lokasi utama di sekitar Meranti dan kembali ke lokasi sama sekitar pukul 10 pagi.
Laluan Langkah Merdeka membawa peserta menyusuri kawasan sekitar Klinik Kesihatan Meranti, Sekolah Kebangsaan (SK) Meranti, Jalan Meranti dan Masjid At-Taqwa Kampung Cherang Meranti sebelum melengkapkan perjalanan di Tapak Pasar Pagi Kampung Meranti.
Sepanjang perjalanan, Menteri Besar Kelantan diiringi isteri Datin Panglima Perang Ustazah Wan Nor Hanita Wan Yaacob dan anak-anak berjalan bersama rakyat dalam suasana santai sambil menyemarakkan semangat cintakan negara menerusi pendekatan yang dekat dengan komuniti.
Beliau menyifatkan penganjuran program berkonsepkan riadah itu turut mencerminkan penghayatan kemerdekaan yang tidak terbatas kepada acara rasmi, sebaliknya diterjemahkan melalui penyertaan rakyat, perpaduan komuniti dan semangat kebersamaan.
"Penyertaan kira-kira 500 rakyat bersama kepimpinan negeri dalam Langkah Merdeka DUN Meranti memperlihatkan semangat patriotisme terus subur di peringkat akar umbi, selain mempererat hubungan antara pemimpin dengan masyarakat menerusi aktiviti yang sihat dan inklusif," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Selain acara berjalan kaki, sambutan berkenaan turut diisi dengan persembahan pidato dan sajak serta pertandingan pulut berhias, basikal berhias dan mewarna.
Program yang mengangkat slogan “Bersama Merdeka!” itu sekali gus menyediakan ruang kepada masyarakat setempat dan perantau anak Kelantan di di seluruh negara yang pulang bercuti sempena cuti am dan cuti sekolah.
Para peserta daripada pelbagai peringkat usia itu bersama-sama menghayati erti kemerdekaan dalam suasana muhibah dan kekitaan.










