Kemerdekaan beri kuasa tentukan haluan negara – MB Kelantan
-
31 August 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
34
KOTA BHARU, 31 Ogos - Kemerdekaan memberi kuasa kepada pemerintah untuk menentukan haluan negara, membina masa depan dan mengangkat martabat tanah air mengikut acuan sendiri.
Demikian kenyataan Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud ketika menyampaikan perutusan Sambutan Hari Kemerdekaan ke-69, 2026 peringkat Negeri Kelantan, di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Kenyataan tersebut disaksikan puluhan ribu rakyat Kelantan memenuhi setiap ruang stadium bersama ribuan lagi warga maya yang menonton secara dalam talian melalui pautan https://www.facebook.com/rtvkelantan/videos/1850361652595258
Beliau berkata, kemerdekaan bermaksud bebas daripada cengkaman penjajahan serta mampu berdiri sendiri dalam menentukan haluan negara, tanpa lagi mengikut kehendak atau telunjuk kuasa asing.
"Bagi kita sebagai umat Islam, kemerdekaan yang dicapai memberi peluang dan ruang kepada kita untuk membangunkan negara agar selari dengan kehendak al-Quran dan al-Sunnah.
"Negara Madinah yang dibangunkan oleh Rasulullah SAW menjadi contoh abadi dan asas yang kukuh untuk membangunkan negara Malaysia yang kita kasihi ini," jelasnya.
Menurut Menteri Besar lagi, semangat hubbul watan dan jiwa merdeka perlu diterapkan dengan menjadikan petunjuk al-Quran sebagai asas dalam memimpin rakyat, membangunkan negeri, memakmurkan tanah air serta mencorakkan masa depan negara dengan penuh keyakinan.
Mengulas tema Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini iaitu “Malaysia Madani, Kesejahteraan Dinikmati: Penghayatan Membangun Bersama Islam” beliau memaklumkan, tema berkenaan mencerminkan hasrat untuk membina sebuah negara yang maju, makmur dan sejahtera berteraskan nilai-nilai Islam.
"Pembangunan atau kemajuan yang ingin dicapai tidak boleh sama sekali menyisihkan kepentingan Islam dalam setiap matlamat dan wawasan yang ingin dicapai," ujarnya.










