Sambutan Hari Kebangsaan ruang kenang sejarah perjuangan generasi terdahulu- TMB Kelantan
-
31 August 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
39
KOTA BHARU, 31 Ogos - Sambutan Hari Kebangsaan menjadi ruang untuk rakyat mengenang sejarah perjuangan dan pengorbanan generasi terdahulu yang membolehkan negara menikmati kemerdekaan, keamanan dan kedaulatan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Dato' Hassan berkata kemerdekaan yang dinikmati hari ini adalah nikmat besar daripada Allah SWT, selain amanah yang perlu disyukuri, dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
"Justeru, semangat kemerdekaan hendaklah sentiasa diterjemahkan melalui kecintaan kepada negara, penghargaan kepada keamanan serta kesetiaan kita untuk hidup bersama dalam suasana yang harmoni dan saling menghormati."
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia peringkat Negeri Kelantan tahun 2026 di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.
Menurutnya, pelbagai pengisian disusun sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini, antaranya solat hajat dan doa selamat Hari Kebangsaan, malam munajat merdeka, acara perbarisan dan sambutan Hari Kebangsaan serta sambutan ambang merdeka.
Selain itu, katanya, turut diadakan solat hajat dan doa selamat sempena Hari Malaysia serta acara jalanan dan larian ceria sempena Hari Malaysia.
"Kesemua pengisian ini diadakan bukan semata-mata untuk memeriahkan sambutan tetapi juga sebagai ruang untuk kita bersama-sama menzahirkan kesyukuran, menyemarakkan semangat patriotisme serta menghayati erti kemerdekaan dalam suasana yang penuh harmoni," katanya.
Tambahnya, sebanyak 69 kontinjen mengambil bahagian dalam acara perbarisan pada kali ini, yang menjadi simbolik kepada sambutan Hari Kebangsaan ke-69 pada tahun ini.
Menyentuh tentang tema sambutan pada tahun ini, Dato' Dr. Mohamed Fadzli berkata, tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini ialah 'Malaysia Madani: Kesejahteraan Dinikmati'.
Manakala di peringkat Negeri Kelantan, tema berkenaan dihayati dengan menggabungkan mesej 'Penghayatan Membangun Bersama Islam', selaras dengan dasar yang menjadi asas pentadbiran Negeri Kelantan.
"Penghayatan ini mengingatkan kita bahawa kesejahteraan yang sebenar bukan hanya berkaitan pembangunan fizikal tetapi turut merangkumi pembangunan insan, pengukuhan nilai akhlak, amanah dan kehidupan masyarakat yang harmoni," jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh anggota keselamatan yang sentiasa komited menjaga keamanan dan keselamatan negara sehingga rakyat dapat berkumpul dalam keadaan aman dan selesa.
















