Tiga tindakan memaknakan kemerdekaan – MB Kelantan
-
31 August 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
36
KOTA BHARU, 31 Ogos - Tiga tindakan perlu digerakkan secara bersama bagi memastikan kemerdekaan diterjemahkan melalui usaha untuk memelihara kedaulatan, keamanan dan masa depan negara.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang, Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, tiga tindakan berkenaan ialah mengukuhkan kefahaman nilai patriotisme (hubbul watan), mempersiapkan generasi pewaris negara yang berkualiti serta memperkasakan perpaduan ummah.
Katanya, kemerdekaan yang disambut tidak akan bermakna jika rakyat sekadar mengenangnya tanpa menterjemahkannya melalui tindakan.
“Sebagai rakyat yang merdeka, kita memikul amanah besar untuk memelihara nikmat ini, mengisinya dengan pembangunan yang berteraskan Islam dan mewariskannya kepada generasi akan datang."
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan Sambutan Hari Kemerdekaan ke-69 peringkat Negeri Kelantan, di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi yang dihadiri puluhan ribu rakyat Kelantan memenuhi setiap ruang stadium.
Menurutnya, kefahaman nilai patriotisme dalam setiap anak watan perlu berasaskan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah, selain mengambil iktibar daripada rakaman sejarah negara yang mampu membangkitkan semangat perjuangan dan hubbul watan.
Katanya lagi, generasi pewaris negara pula perlu dipersiapkan dari sudut keteguhan jati diri dan kemantapan pemikiran bagi memastikan mereka bersedia mengisi kemerdekaan.
“Kita mahu bilangan yang ramai bersedia mengisi kemerdekaan agar kedaulatan negara terus gah berdiri di persada dunia,” katanya.
Tambahnya, perpaduan ummah perlu diperkasakan kerana mempertahankan kemerdekaan menuntut rakyat bersatu padu tanpa mengira agama dan bangsa.
Beliau menegaskan, hak dan teras kepada pembentukan negara hendaklah dihormati dan dijunjung semua pihak sebagaimana terkandung dalam lima Rukun Negara.
"Apabila ketiga-tiga tindakan itu berpadu, negara mampu mempertahankan kedaulatan, memelihara keamanan dan menuju masa depan yang lebih gemilang.
“Saya menaruh harapan yang tinggi agar sambutan ini menyemarakkan semula semangat kemerdekaan, memperbaharui azam dan memperteguh tekad kita untuk terus memajukan serta memakmurkan negeri Kelantan khususnya, dan Malaysia amnya,” ujarnya.
Beliau turut menyeru rakyat supaya memikul tanggungjawab itu dengan penuh kesedaran dan kesungguhan, selain menyatukan tenaga serta menggandakan usaha demi membina masa depan yang lebih sejahtera,
bermaruah dan diberkati Allah SWT.
“Dengan perpaduan yang kukuh, kepimpinan yang amanah dan usaha yang berterusan, kita mampu memelihara kedaulatan serta mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati dan disegani,” katanya.
Dalam majlis sambutan Hari Kebangsaan tahun ini sebanyak 69 kontinjen mengambil bahagian dalam acara perbarisan sebagai simbolik 69 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan.
Kontinjen terbaik dimenangi oleh kontinjen jajahan Machang, naib johan diraih kontinjen jajahan Gua Musang dan tempat ketiga milik Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI).
Hadir sama, Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Dato' Hassan, Mantan Menteri Besar YB Dato' Bentara Kanan Ustaz Dato' Ahmad Yakob, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YBM Tengku Kaya Perkasa Dato' Dr. Tengku Mohamed Faziharudean al-Haj Tengku Feissal, Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan YB Zawawi Ghazali, Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri Kelantan YB Dato' Rosnazli Amin, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan, Ahli-Ahli Dewan Negeri (ADN) Kelantan, Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.














