Accessibility Tools

Skip to main content

Pelan Pembangunan Belia Kelantan 2033 garis 18 polisi, pacu masa depan anak muda

  • 30 August 2026
  • Oleh: Syamimi Manah | Kredit foto: Media YB Zamakhshari
  • 66

KOTA DARULNAIM, 30 Ogos - Pelan Pembangunan Belia Kelantan 2033 menggariskan 18 polisi strategik sebagai kerangka jangka panjang bagi memperkasa ekosistem anak muda serta memacu pembangunan generasi masa depan negeri.

Ketua Whip Ahli Dewan Negeri (ADN) Belia Kelantan merangkap Pengarah Program Kelantan Future Leader Summit (KFLS) 2026 Nik Muhammad Luqmanul Al Hakim Mohd Roslan berkata, perangkaan pelan berkenaan merupakan antara hasil utama penganjuran KFLS 2026 yang julung kali diadakan.

Menurutnya, pelan tersebut dirangka menerusi Sidang Focus Group Discussion (FGD) yang berlangsung pada 28 Ogos di Hotel H-Elite, sehari sebelum kemuncak KFLS 2026 di Kelantan Trade Centre (KTC), hari ini.

Katanya lagi, FGD berkenaan menghimpunkan 72 tokoh daripada pelbagai bidang termasuk ahli akademik, belia dan beliawanis serta pemimpin mahasiswa daripada pelbagai institusi pengajian tinggi.

“Pelan Pembangunan Belia Kelantan 2033 ini digubal khusus sebagai kerangka strategik jangka panjang dalam memimpin dan memperkasakan ekosistem anak muda di seluruh negeri Kelantan.

“Ia merupakan hasil pandangan, idea dan perbincangan pelbagai pihak yang melihat pembangunan anak muda sebagai antara komponen penting dalam menentukan masa depan negeri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 18 polisi strategik berjaya dirangka menerusi FGD tersebut yang merangkumi enam agenda besar serta lima mesej utama berkaitan pembangunan negeri.

Tambahnya, polisi berkenaan meliputi bidang teras pembangunan seperti ekonomi, tadbir urus, pembangunan belia, kesejahteraan sosial, alam sekitar mampan dan keselamatan digital.

Nik Muhammad Luqmanul Al Hakim juga memaklumkan, hasil perbincangan dan dokumen polisi berkenaan kemudiannya dibentangkan dalam kemuncak KFLS 2026 di KTC sebelum diserahkan secara rasmi kepada Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Kaum Negeri Kelantan YB Zamakhshari Muhamad.

“Penyerahan dokumen ini menandakan komitmen utuh anak muda dalam mengemukakan syor berimpak tinggi terus kepada pihak pengurusan tertinggi Kerajaan Negeri Kelantan.

“Kejayaan KFLS pada hari ini meletakkan satu tanda aras bahawa suara belia bukan sekadar untuk didengari, tetapi mesti diterjemahkan kepada tindakan dan dasar” katanya.

Beliau turut menyeru generasi muda Kelantan supaya terus memberikan sumbangan bakti kepada negeri dengan mengambil tanggungjawab untuk memahami serta menyelesaikan isu yang berlaku dalam masyarakat.

“Masa depan Kelantan tidak akan dibina hanya dengan kata-kata, melainkan oleh mereka yang benar-benar sanggup turun ke lapangan, menyelesaikan masalah dan berani mengambil tanggungjawab demi kemajuan bersama,” tegasnya.

Pautan berjaya disalin!