KFLS 2026 himpun lebih 250 anak muda, cetus idea masa depan Kelantan
-
30 August 2026
-
Oleh: Syamimi Manah | Kredit foto: Media YB Zamakhshari
-
33
KOTA DARULNAIM, 30 Ogos - Lebih 250 anak muda daripada pelbagai latar belakang dihimpunkan menerusi Kelantan Future Leaders Summit (KFLS) 2026 bagi membincangkan hala tuju serta mencetuskan idea berkaitan masa depan Kelantan.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, platform berkenaan penting dalam memberi ruang kepada generasi muda berkongsi pandangan serta memikirkan peranan mereka dalam membentuk masa depan negeri.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan KFLS 2026 yang berlangsung di Kota Bharu Trade Centre, semalam.
Menurutnya, pelbagai perspektif diketengahkan menerusi sesi Keynote Speech dan KELTalks yang merangkumi aspek industri, teknologi, penyelidikan, keusahawanan, pembangunan insan dan peranan anak muda.
“Dunia sedang berubah. Teknologi berkembang, ekonomi bergerak dan peluang pekerjaan turut berubah.
“Kita tidak boleh hanya menunggu perubahan berlaku. Kalau mahu Kelantan berubah, kita sendiri perlu bersedia untuk berubah,” katanya di laman rasmi, hari ini.
Sesi Keynote Speech: ‘Kelantan Future State: Charting the Future of Kelantan’ turut menampilkan Pengerusi Dagang NeXchange Berhad (DNeX) dan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) Tan Sri Dato’ Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.
Turut berlangsung, Forum KELTalks: ‘Building Future Leaders: Knowledge and Innovation in Industries’ yang menampilkan lima tokoh kepimpinan mengikut kluster.
Bagi Kluster Usahawan, perkongsian disampaikan oleh Pengasas PinkandBelle Sdn. Bhd. Sharifah Nori Bahar manakala Pegawai Mal & Sumber Am, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Nik Mohd Afif Azhan Nik Mohd Naidi mewakili Kluster Bina Insan.
Sementara itu, Pakar Perunding TSIS dan Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Madya Dr. Mohd Hanif Yaacob berkongsi pandangan menerusi Kluster Pendidikan.
Bagi Kluster Industri, sesi berkenaan menampilkan Healthcare Specialist and Sustainability Consultant Badzli Bakar, manakala Presiden Majlis Kepimpinan Kelantan Future Leader (KFL) Wan Amar Faheem mewakili Kluster Anak Muda.
YB Zamakhshari berkata, anak muda perlu mengambil peluang yang tersedia untuk meningkatkan keupayaan diri, meneroka bidang baharu dan menghasilkan penyelesaian yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat.
“Anak muda perlu berani mencipta peluang, berani mencuba dan lebih penting, menjadi sebahagian daripada penyelesaian, bukan sekadar membawa masalah,” ujarnya.
Dalam program sama, Pelan Pembangunan Belia Kelantan 2033 turut dibentangkan sebagai antara usaha mempersiapkan generasi muda yang bakal meneruskan amanah pembangunan negeri pada masa hadapan.
Menurut YB Zamakhshari, persediaan generasi muda perlu diberi perhatian supaya mereka mampu berdepan perubahan teknologi, ekonomi dan landskap pekerjaan yang semakin dinamik.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kelantan Future Leaders Institute (KFLI) atas usaha menyediakan platform yang menghimpunkan anak muda daripada pelbagai latar untuk berkongsi idea dan membincangkan masa depan Kelantan.












