Keberangkatan Tengku Mahkota Kelantan ke MAHA 2026 suntik semangat sektor pertanian negeri
-
30 August 2026
-
Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Unit Media TMB Kelantan
-
31
KOTA DARULNAIM, 30 Ogos — Keberangkatan Tengku Mahkota Kelantan Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra ibni Almarhum Sultan Ismail Petra ke Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism (MAHA) 2026 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) menyuntik semangat dalam memperkukuh dan mengangkat potensi sektor pertanian, agro serta agropelancongan negeri Kelantan ke tahap lebih tinggi.
Demikian kenyataan Timbalan Menteri Besar YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Dato' Hassan di media sosial, pada Sabtu.
"Semoga keberkatan keberangkatan Yang Teramat Mulia sentiasa mengiringi segala usaha dan ikhtiar dalam memperkasa sektor pertanian, memperluas peluang ekonomi serta mengangkat produk dan hasil anak Kelantan agar terus berkembang, berdaya saing dan mendapat tempat di peringkat yang lebih luas," katanya.
Menurutnya, Pavilion Kelantan turut mengetengahkan pelbagai produk dan hasil keluaran negeri, termasuk produk makanan, pakaian, hasil pertanian serta produk usahawan tempatan yang mencerminkan keunikan, kreativiti dan kekuatan ekonomi rakyat Kelantan.
Ujarnya, pameran pelbagai produk dari Kelantan tersebut mencerminkan wajah negeri itu yang kaya dengan hasil bumi, warisan dan kreativiti anak negeri.
"Ayuh kita terus menyokong dan mengangkat produk usahawan Kelantan agar semakin dikenali dan menembusi pasaran yang lebih luas.
"Jemput hadir ke Pavilion Rumah Kelantan, MAHA 2026, MAEPS Serdang dari 28 Ogos hingga 6 September 2026. Sokongan dan kunjungan anda amat bermakna buat usahawan serta anak-anak Kelantan," serunya.
Terdahulu beliau menyambut dan mengiringi Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan melawat MAHA 2026, semalam.
Turut hadir, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan timbalannya, YB Dato' Shaari Mat Hussain.










