Sultan Kelantan kurnia 30 tukun tiruan di perairan Pasir Puteh
-
30 August 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
26
KOTA DARULNAIM, 30 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan mengurniakan 30 tukun tiruan untuk dilabuhkan di perairan Pasir Puteh sebagai usaha memperkayakan habitat marin, meningkatkan sumber perikanan serta memberi manfaat kepada komuniti nelayan di Kelantan.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pengurniaan itu mencerminkan keprihatinan baginda terhadap kelestarian ekosistem marin dan sumber rezeki rakyat yang bergantung kepada sektor perikanan.
“Merafak sembah dan junjung kasih setinggi-tinggi penghargaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V atas perkenan tuanku dalam pengurniaan 30 buah tukun tiruan untuk dilabuhkan di perairan laut Pasir Puteh, Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi perkongsian di media sosial selepas menghadiri Program Melabuh Tukun Tiruan Kurniaan KDYMM Sultan Kelantan di perairan Pasir Puteh pada 27 Ogos.
Katanya, pembinaan dan pelabuhan tukun tiruan merupakan antara pendekatan penting dalam menyediakan habitat baharu bagi hidupan marin, sekali gus menyokong usaha memastikan sumber perikanan kekal mampan.
"Bagi tahun 2026, sebanyak 72 tukun tiruan akan dilabuhkan di perairan Kelantan melibatkan peruntukan RM1.7 juta.
"Secara keseluruhan, Jabatan Perikanan Malaysia telah melabuhkan 400 tukun pelbagai jenis di perairan Kelantan sejak 2007 hingga 2026 dengan jumlah peruntukan RM8.46 juta.
"Pelaksanaan secara berterusan itu penting dalam menyokong pemuliharaan ekosistem marin, kelangsungan sumber perikanan dan sekuriti makanan, di samping memberi manfaat ekonomi kepada komuniti nelayan," jelasnya.
Dato' Mohd Saripudin juga memaklumkan, usaha melabuhkan tukun tiruan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan khazanah perikanan negeri dapat dipelihara dan dimanfaatkan secara mampan.
Beliau berharap pengurniaan 30 tukun tiruan oleh Sultan Muhammad V itu turut menjadi pemangkin kepada usaha berterusan memulihara sumber laut demi kesejahteraan rakyat.
“Daulat Tuanku. Semoga usaha ini terus menjadi asbab kepada kelimpahan hasil laut dan kesejahteraan rakyat Kelantan,” ujarnya.










