Accessibility Tools

Skip to main content

Jelajah KALA 2026 tarik 20,000 pengunjung

  • 30 August 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 27

TUMPAT, 29 Ogos - Program Jelajah Kelantan Authentic Lifestyle and Arts (KALA) 2026 menarik kira-kira 20,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya sekali gus melepasi sasaran awal 15,000 orang.

Program yang julung kali dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dengan kerjasama Koperasi Warisan Kampung Laut Berhad itu berlangsung di Pantai Seri 7 bertemakan 'Warisan Perkampungan Nelayan'.

Pengerusi Jawatankuasa Pemandu KALA yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata sambutan berkenaan membuktikan program berteraskan komuniti mampu menarik kehadiran pengunjung dari pelbagai kawasan.

"Alhamdulillah, bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan, saya ingin merakamkan ucapan selamat datang dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang hadir serta memberikan sokongan terhadap penganjuran program ini.

"Syabas dan tahniah kepada PKINK dengan kerjasama Koperasi Warisan Kampung Laut Berhad atas kejayaan menganjurkan program ini."

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup program Jelajah KALA 2026 , di Pantai Sri 7, di sini semalam.

Katanya, sebanyak tujuh hingga lapan program diadakan setiap hari sepanjang Jelajah KALA 2026 dan semuanya mendapat sambutan meriah daripada penduduk setempat.

"Family Walk contohnya  mendapat sambutan menggalakkan. Bukan orang Tumpat sahaja yang datang, malah dari seluruh Kelantan, termasuk Kok Lanas.

"Jelajah KALA merupakan suatu program yang berteraskan komuniti akan menjadi lebih bermakna apabila kita bersama-sama menjayakannya," katanya.

Menurut Dato' Wan Roslan, pemilihan Pantai Seri 7 sebagai lokasi Jelajah KALA 2026 mempunyai makna tersendiri kerana kawasan itu bukan sekadar destinasi rekreasi, malah sebahagian daripada wajah Tumpat.

"Pantai Seri 7 mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan, ekonomi setempat, makanan, budaya dan juga aktiviti komuniti.

"Kita mahu melihat Pantai Seri 7 terus berkembang sebagai sebuah destinasi yang mampu menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar Kelantan," jelasnya.

Tambahnya, pembangunan destinasi pelancongan tidak boleh hanya bergantung kepada keindahan sesuatu tempat, sebaliknya memerlukan aktiviti berterusan, promosi kreatif, penglibatan masyarakat setempat dan produk ekonomi yang mampu memberikan manfaat secara langsung kepada komuniti.

"Sebab itu program seperti Jelajah KALA amat penting. Ia membawa manusia datang ke satu-satu tempat.

"Apabila manusia datang, ekonomi bergerak. Apabila ekonomi bergerak, peluang pekerjaan dan pendapatan dapat diwujudkan dan apabila komuniti turut terlibat, manfaat pembangunan dapat dirasai bersama serta dapat memperkasakan usahawan tempatan," ujarnya.

Beliau juga memaklumkan, Jelajah KALA 2026 Tumpat menjadi platform yang menghimpunkan rakyat, ekonomi, teknologi, pelancongan, budaya dan pembangunan komuniti dalam satu ekosistem.

"Kita mahu menjadikan program seperti ini sebagai ruang untuk memperkenalkan potensi setempat, mengetengahkan produk usahawan, menghidupkan aktiviti ekonomi dan membuka peluang baharu kepada rakyat.

"Antara tarikan pelancong di Tumpat ialah produk tempatan seperti serondeng, gelembung buaya dan lain-lain.

"Alhamdulillah, ECERDC telah memilih Kampung Laut sebagai kampung warisan dan ia telah berjaya menarik pelancong," katanya.

Kata Dato' Wan Roslan lagi, produk makanan tempatan Tumpat juga mempunyai potensi untuk dikembangkan, namun terdapat pengusaha yang masih memilih untuk menghasilkan produk dalam skala kecil.

"Produk makanan orang Tumpat ini sedap-sedap, contohnya keropok. Jadi kita minta bantuan daripada pihak PKINK melalui KALA, mungkin boleh bantu pengusaha-pengusaha kita yang menjalankan perniagaan seperti ini," katanya.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri (ADN) Kelaboran YB Mohd Adanan Hassan, ADN Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif PKINK Dato' Sr. Zamri Ismail.

Pautan berjaya disalin!