TVET buka laluan pengajian dan kerjaya lebih luas untuk pelajar tahfiz
-
27 August 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim | Kredit foto: Media YB Dato' Wan Roslan
-
28
KOTA DARULNAIM, 27 Ogos – Pelajar tahfiz di Kelantan berpeluang meneroka laluan pengajian dan kerjaya yang lebih luas menerusi kerjasama strategik antara institusi pendidikan Islam, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta industri.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, usaha memperluas akses kepada bidang TVET penting bagi melengkapkan pelajar tahfiz dengan kemahiran teknikal dan kompetensi profesional yang memenuhi keperluan industri semasa.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan pelajar tahfiz memperoleh kelayakan kemahiran yang diiktiraf di samping menyediakan hala tuju kerjaya yang lebih jelas selepas menamatkan pengajian.
“Kita mahu membuka ruang yang lebih luas kepada anak-anak tahfiz untuk meneruskan pengajian dalam bidang TVET, memperoleh kemahiran yang diiktiraf serta mempunyai laluan kerjaya yang lebih jelas selepas tamat pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi perkongsian di media sosial selepas menerima kunjungan pihak TVETMARA Pasir Mas di pejabatnya di Yayasan Islam Kelantan (YIK), Tunjong, Kota Bharu, hari ini.
Menurutnya, pertemuan itu memberi tumpuan kepada peluang melanjutkan pengajian dalam bidang TVET serta pembentukan laluan kerjaya khusus bagi pelajar tahfiz melalui kerjasama dengan pihak industri.
Beliau memaklumkan, penguasaan kemahiran teknikal dapat menjadi nilai tambah kepada kekuatan hafazan dan pengajian agama yang dimiliki pelajar tahfiz, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam dunia pekerjaan.
"Sinergi antara institusi pendidikan Islam, penyedia TVET dan industri juga mampu membentuk ekosistem pendidikan yang lebih seimbang dengan menggabungkan penguasaan ilmu agama, kemahiran teknikal dan profesionalisme.
"Pada masa sama, pendekatan tersebut dapat memperluas pilihan pendidikan pelajar tahfiz agar potensi mereka tidak terbatas kepada bidang pengajian agama, sebaliknya turut berkembang dalam bidang teknikal dan kemahiran yang selaras dengan minat serta keperluan pasaran pekerjaan," jelasnya.
Beliau berharap pertemuan bersama TVETMARA Pasir Mas itu menjadi titik awal kepada kerjasama yang lebih tersusun antara pihak berkaitan bagi menyediakan laluan pendidikan dan kerjaya yang bersesuaian kepada pelajar tahfiz di Kelantan.
Usaha itu juga diharapkan dapat melahirkan generasi tahfiz yang kukuh dalam penguasaan ilmu agama dan memiliki kemahiran teknikal dan kompetensi profesional yang membolehkan mereka bersaing serta menyumbang dalam pelbagai sektor.










