Accessibility Tools

Skip to main content

KARISMA perkukuh kompetensi anak muda, lahir pemimpin berwibawa

  • 27 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim | Kredit foto: Media YB Zamakhshari
  • 26

KOTA DARULNAIM, 27 Ogos – Seminar Kepimpinan Strategik Anak Muda (KARISMA) 1.0 2026 menjadi wadah memperkukuh kompetensi anak muda melalui penguasaan ilmu, kemahiran menyelesaikan masalah dan keupayaan mengemukakan pandangan bernas sebagai persediaan melahirkan barisan pemimpin berwibawa.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, kepimpinan tidak semestinya bergantung pada jawatan atau kedudukan, sebaliknya nilai seseorang pemimpin turut ditentukan oleh ilmu, pandangan dan kemampuan menawarkan penyelesaian.

Menurutnya, prinsip Leadership is by Proposition menekankan kepentingan membina kompetensi sehingga seseorang mampu menyumbangkan pandangan dan penyelesaian yang bernilai meskipun tanpa memegang jawatan rasmi.

“Walaupun tidak memegang apa-apa posisi, pandangan kita tetap diperlukan. Sebab itu anak muda perlu terus bina kompetensi,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi perkongsian di media sosial selepas merasmikan Seminar Kepimpinan Strategik Anak Muda (KARISMA) 1.0 2026 di sebuah hotel, di Bandar Baru Tunjong, semalam.

YB Zamakhshari memaklumkan, penguasaan ilmu menjadi asas kepada pembinaan kompetensi kerana seseorang pemimpin perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan dan keupayaan diri sebelum mampu menyumbang secara berkesan.

“Nak kompeten, kena ada ilmu. Nak ada ilmu, kena belajar,” katanya.

Menurutnya, kepentingan persediaan tersebut semakin besar apabila sebahagian peserta KARISMA kini berada dalam ruang pembuatan keputusan berkaitan kepimpinan negeri.

Justeru, mereka perlu berada dalam sesuatu ruang kepimpinan dan mesti memahami isu yang dibincangkan serta rasional di sebalik sesuatu keputusan.

“Jangan sekadar ada tempat di meja. Faham apa yang sedang dibincangkan di meja itu,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan, KARISMA antara lain dirangka untuk menyediakan anak muda yang berilmu, kompeten dan bersedia memikul amanah apabila diberikan tanggungjawab kepimpinan.

Tambahnya, seseorang pemimpin yang mempunyai pengetahuan, kemampuan memahami isu serta keupayaan menawarkan penyelesaian akan terus menjadi rujukan meskipun tidak memegang sebarang jawatan.

Sehubungan itu, beliau berharap peserta KARISMA memanfaatkan ruang pembelajaran dan pembangunan kepimpinan yang disediakan untuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran masing-masing.

Pautan berjaya disalin!