Accessibility Tools

Skip to main content

Tulisan Jawi cerminan warisan Melayu-Islam, perlu terus dimartabatkan – Dato’ Wan Roslan

  • 27 August 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 33

KOTA BHARU, 27 Ogos – Tulisan Jawi perlu terus dimartabatkan sebagai cerminan warisan Melayu-Islam yang mempunyai nilai sejarah, ilmu dan peradaban.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, tulisan Jawi  mempunyai sejarah panjang dalam perkembangan Islam dan tamadun Melayu di Nusantara.

“Sejarah penulisan Jawi ini bermula sejak kedatangan Islam ke Nusantara dan ia terbentuk hasil adaptasi huruf-huruf Arab dengan beberapa perubahan bagi menyesuaikannya dengan bahasa masyarakat setempat.

“Pada peringkat awal perkembangannya, huruf Arab mula dibawa masuk ke Tanah Melayu seiring dengan penyebaran Islam ke Kepulauan Melayu,” katanya ketika merasmikan Bengkel Penulisan Jawi 2026 di sebuah hotel di Kota Bharu, hari ini.

Menurutnya, tulisan Jawi kemudiannya berkembang pesat bersama kerajaan Melayu-Islam dan memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat ketika itu.

“Dalam zaman keemasannya, tulisan Jawi berkembang pesat bersama kerajaan Islam di Pahang, Melaka, Johor dan Tanah Melayu serta menjadi tulisan rasmi dalam pentadbiran kerajaan Melayu,” jelasnya.

Dato’ Wan Roslan juga memaklumkan, tulisan Jawi turut menjadi medium utama dalam penyebaran ilmu agama dan peradaban Melayu yang menjadikannya sebahagian penting daripada sejarah masyarakat Islam di rantau ini.

“Jadi ia menjadi medium utama penyebaran ilmu agama dan peradaban Melayu. Kelantan juga mempunyai sejarah tersendiri dalam penggunaan tulisan Jawi, termasuk dalam urusan pentadbiran dan pendidikan.

"Usaha memelihara tulisan Jawi perlu diteruskan bagi memastikan warisan tersebut tidak semakin terpinggir dalam perkembangan masyarakat masa kini.

“Kalau kita tengok perkembangan awal tulisan Jawi kita, orang baharu hari ini ada yang boleh membaca dan ada yang tidak boleh membaca. Jadi sebab itulah usaha seperti ini perlu diteruskan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dato’ Wan Roslan turut memberi perhatian terhadap penggunaan tulisan Jawi dalam komunikasi dan pengiklanan yang menurutnya masih berdepan isu kesalahan ejaan serta kaedah penulisan.

“Banyak berlaku kesalahan ataupun dalam kerja pengiklanan, penggunaan tulisan Jawi. Sebab itu teknik dan ejaan ini perlu diperbetulkan. Kita perlu memastikan penggunaan secara rasmi itu dibuat dengan betul,” tegasnya.

Beliau berkata, penguasaan tulisan Jawi bukan hanya penting dari aspek kemahiran membaca dan menulis bahkan mempunyai kaitan rapat dengan usaha mempertahankan warisan Melayu-Islam.

“Program ini merupakan satu usaha untuk kita memurnikan dan memperkemaskan penggunaan Jawi supaya dapat menjadi syiar yang baik kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut menegaskan, usaha memperkasa tulisan Jawi memerlukan sokongan dan kerjasama pelbagai pihak, termasuk kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat.

Katanya, cabaran terhadap tulisan Jawi perlu disambut dengan usaha yang lebih tersusun supaya penggunaannya dapat terus berkembang dalam masyarakat.

“Kerajaan negeri menyahut cabaran ini dan kita akan terus bersama-sama memperjuangkan usaha memperkasa tulisan Jawi,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur yang mengambil inisiatif menganjurkan Bengkel Penulisan Jawi 2026 sebagai salah satu platform memperkukuh penguasaan tulisan tersebut.

“Terima kasih kepada penganjur yang menganjurkan program ini, sebagai usaha untuk kita menjaga warisan dan memurnikan serta memperkemaskan penggunaan tulisan Jawi.

“Semoga ia menjadi syiar yang baik kepada masyarakat, memantapkan tulisan Jawi, diri kita dan juga negara kita,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!