Accessibility Tools

Skip to main content

MAIK catat peningkatan kutipan wakaf tunai 38.44 peratus

  • 27 August 2026
  • Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Media MAIK
  • 27

KOTA BHARU, 27 Ogos - Kutipan wakaf tunai Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi tempoh Januari hingga 22 Ogos 2026 mencatatkan jumlah RM1.374 juta, meningkat RM381,550.38 atau 38.44 peratus berbanding RM992,493.69 bagi tempoh sama tahun lalu.

Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan YBM Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata peningkatan itu mencerminkan perkembangan memberangsangkan dalam prestasi kutipan wakaf tunai MAIK.

Katanya daripada dana wakaf tunai, MAIK telah melaksanakan sebanyak 16 projek berimpak dengan jumlah keseluruhan peruntukan RM1,196,961.42.

"Antara projek dengan peruntukan tertinggi ialah baik pulih Sekolah Maahad Tahfiz Al-Quran (MAIK) Pendek, Kota Bharu berjumlah RM217,254.92.

"Diikuti sumbangan mesin ultrasound kepada Hospital Gua Musang sebanyak RM199,000, pembinaan dan pemasangan telaga tiub di Surau Kampung Manok, Pos Sungai Rual, Jeli sebanyak RM170,000 dan penyediaan mesin katarak di Hospital Tanah Merah sebanyak RM117,428.

"Selain itu, baik pulih bekalan air Tandak di Jajahan Jeli turut menerima peruntukan RM92,228.50."

Beliau berkata demikian  pada majlis Pelancaran Bulan Wakaf MAIK 2026 di sebuah hotel di sini, semalam.

Tambahnya, pelaksanaan projek berkenaan membuktikan sumbangan wakaf tunai yang diamanahkan masyarakat bukan sekadar dikumpulkan, sebaliknya diterjemahkan kepada manfaat nyata dalam bidang pendidikan, kesihatan, kebajikan dan kemudahan asas untuk rakyat Kelantan.

Katanya, MAIK selaku badan pengawal tunggal harta wakaf di Kelantan sentiasa terbuka terhadap perkembangan dan keperluan semasa bagi memastikan instrumen wakaf diperkasakan serta diurus secara lebih dinamik dengan hukum syarak kekal menjadi paksi utama.

"Pengurusan wakaf pada hari ini semakin mencabar, khususnya dengan kemunculan pelbagai inovasi produk wakaf di pasaran.

"Perkembangan ini merupakan petanda amat positif kerana menunjukkan wakaf semakin mendapat perhatian pelbagai pihak, sekali gus membuka ruang untuk produk dan instrumen wakaf dibangunkan secara lebih kontemporari, profesional dan berorientasikan keperluan semasa," ujarnya.

Tengku Tan Sri Dato' Mohd Rizam turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Kelantan atas kelulusan Mesyuarat Kerajaan pada 31 Disember 2025 yang membawa kepada pelaksanaan Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Bilangan 7 Tahun 2026.

Katanya, penambahbaikan prosedur itu mempermudah urusan perwakafan tanah kepada MAIK melalui pendekatan pusat sehenti, termasuk permohonan serentak bagi penyerahan balik dan perizaban tanah.

Beliau memaklumkan, inisiatif berkenaan diyakini mampu mengurangkan birokrasi dan memangkin penyertaan masyarakat dalam melaksanakan ibadah wakaf, seterusnya menyumbang kepada usaha memperkasakan sosioekonomi ummah di Kelantan.

Beliau turut berharap wakaf menjadi nadi dalam kehidupan masyarakat Kelantan dan terus diperkasakan menerusi pelbagai program serta projek pembangunan yang lebih mapan, bernilai tinggi, dinamik, komprehensif dan kontemporari, selaras dengan kehendak hukum syarak.

Pautan berjaya disalin!