Accessibility Tools

Skip to main content

Anak muda perlu berani mulakan langkah – Datuk Ahmad Marzuk

  • 26 August 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 22

PENGKALAN CHEPA, 26 Ogos - Golongan anak muda perlu berani mengambil tindakan dan memulakan langkah dalam merealisasikan sesuatu yang ingin dibangunkan, bukan sekadar berbicara mengenai perkara yang ingin dilaksanakan.

Demikian kenyataan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa YB Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary selepas diiringi isteri dan Skuad Kita Cakna DUN Panchor menyusuri sekitar Mukim Tapang untuk menziarahi penduduk dari rumah ke rumah, pada Ahad.

Menurutnya, kunjungan tersebut memberi peluang kepada beliau untuk melihat lebih dekat kehidupan masyarakat yang sedang berdepan ujian kesihatan serta kesukaran hidup.

“Di celah perjalanan, kami singgah di kedai kopi, duduk bersama anak-anak muda dan menyantuni kehidupan dari jarak yang lebih dekat.

“Di situlah realiti berbicara sendiri tentang kesukaran yang dipikul, keresahan yang tersimpan dan ikhtiar mencari rezeki yang terus digerakkan dalam keterbatasan, sambil menjaga orang tua,” katanya di laman rasmi, semalam.

Datuk Dr. Ahmad Marzuk berkata, keterbatasan masa dan banyaknya tugasan perlu dilihat sebagai dorongan untuk terus berusaha memenuhi harapan masyarakat yang sentiasa mengharapkan perhatian dan tindakan.

Tambahnya, setiap individu mempunyai kepentingan dan tujuan yang berbeza, menyebabkan pandangan serta suara yang disampaikan juga tidak semestinya sama.

“Bicara ada pentas dan batasnya. Sejauh mana pun pergi, akhirnya berhenti di hujung bibir. Kerja pula mempunyai kaki. Ia berjalan lebih jauh dan meninggalkan bekas,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau turut menitipkan pesanan kepada anak-anak muda yang ditemui supaya tidak hanya bercakap mengenai apa yang ingin dibina, sebaliknya berani memulakan langkah.

“Jangan hanya berbicara tentang apa yang mahu dibina. Mulakan langkah.

 

“Kerana kejayaan dan penyelesaian bermula dengan tindakan, bukan bicara sambil menunggu hasilnya,” jelasnya.

Pautan berjaya disalin!