Accessibility Tools

Skip to main content

Kerajaan negeri komited pertahankan perundangan syariah Kelantan

  • 26 August 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 30

KOTA DARUL NAIM, 26 Ogos – Kerajaan Negeri Kelantan kekal komited mempertahan dan melaksanakan perundangan syariah di negeri ini melalui ruang lingkup perundangan yang dibenarkan, selain bersedia menghadapi sebarang cabaran perundangan terhadap enakmen yang diluluskan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri bersedia berhadapan dengan proses perundangan sekiranya enakmen berkenaan dicabar di mahkamah, termasuk menggubal semula undang-undang tersebut sekiranya ia dibatalkan.

Menurutnya, sesuatu undang-undang sememangnya terbuka untuk dicabar dan menjadi tanggungjawab mahkamah untuk menentukan sama ada cabaran berkenaan mempunyai asas atau sebaliknya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan wartawan pada sidang media selepas  Mesyuarat Kerajaan Negeri di Kota Darul Naim, hari ini.

Menurutnya, proses penggubalan enakmen berkenaan dilaksanakan secara teliti dengan melibatkan pandangan pakar perundangan, Jemaah Ulama Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) yang terdiri daripada pelbagai latar belakang serta dua pakar perlembagaan dari universiti tempatan.

“Draf undang-undang ini telah melalui saringan ketat dan penambahbaikan berdasarkan teguran pakar sebelum diluluskan oleh Jawatankuasa Teknikal, Jawatankuasa Induk, Jemaah Ulama MAIK, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan akhirnya dibentangkan di Dewan Undangan Negeri,” jelasnya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut merujuk Perlembagaan Persekutuan serta diktum atau alasan penghakiman Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam kes terdahulu sebagai sebahagian daripada proses penggubalan.

Menurutnya lagi, undang-undang tersebut dirangka supaya selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan serta disusun mengikut hierarki Maqasid Syariah.

Beliau memaklumkan, kesalahan berkaitan agama dan syariat Islam yang digubal melalui perundangan berkenaan berada dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah negeri.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan, fungsi Dewan Negeri (DUN) sebagai badan legislatif yang sah adalah untuk menggubal dasar dan undang-undang, justeru proses tersebut bukan bertujuan untuk mempamerkan kuasa.

Bahkan, menurutnya, matlamat undang-undang takzir yang diluluskan adalah bagi mencegah jenayah dan mengekalkan keharmonian awam, bukannya untuk menzalimi mana-mana pihak.

“Hukuman hanya dijatuhkan oleh mahkamah melalui proses pendakwaan yang adil, bukan oleh kerajaan secara sewenang-wenangnya,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan perundangan syariah dibuat berdasarkan kemampuan serta ruang lingkup yang dibenarkan melalui perundangan takzir.

Dalam konteks itu, beliau berkata, walaupun enakmen berkaitan Qisas dan Hudud telah wujud sejak 1992, ia masih belum dilaksanakan atas tanda penghormatan terhadap kerangka undang-undang dan Perlembagaan Malaysia.

Pada masa sama, enakmen berkenaan kini berada dalam proses mendapatkan Royal Assent (Perkenan Diraja.)

Selepas proses tersebut selesai, enakmen berkenaan akan diwartakan secara rasmi dalam masa terdekat.

Pautan berjaya disalin!